Olimpik Tokyo 2020: Penduduk Tokyo berbeza pendapat

Astro Awani
Julai 23, 2020 07:10 MYT
Yoshiro Mori berpendapat Sukan Olimpik Tokyo mungkin tidak akan diteruskan sekiranya pandemik COVID-19 masih berterusan. Gambar fail
Pendapat berbeza disuarakan penduduk Tokyo sama ada temasya Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguhkan ke tahun hadapan boleh diteruskan atau sebaliknya.
Memetik laporan Associated Press, ada yang berpendapat sekiranya pihak penganjur mengambil langkah yang sewajarnya, terutama ketika penularan COVID-19, penganjuran sukan dunia itu selamat diteruskan.
Namun, ada juga yang berpendapat jika temasya sukan tersebut dibanjiri oleh penonton dari luar negara, tidak selamat untuk menyertainya.
Menurut seorang pekerja awam, Akari Masuda, jika pihak penganjur mengambil langkah sepatutnya, temasya tersebut patut diteruskan.
“Sukan menyatukan kita semua. Sekiranya mereka mengambil langkah keselamatan, temasya tersebut boleh dianjurkan. Jadi, saya rasa mereka patut teruskan,” katanya.
Namun, bagi Hikaru Okubu, dia merasakan masih belum selamat untuk menghadiri perhimpunan yang melibatkan orang awam yang datang dari seluruh dunia.
“Saya agak bimbang. Jika Olimpik diadakan di negara luar dan saya jangka untuk pergi, saya tidak akan teruskan perancangan tersebut melainkan saya merasa selamat untuk keluar ke tempat awam,” jelasnya.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh media tempatan, Kyodo News Agency, 25 peratus penduduk bandar itu berpendapat Sukan Olimpik itu patut diteruskan tahun hadapan.
Manakala 70 peratus lagi berpendapat, anjuran temasya itu perlu dibatalkan atau ditunda sekali lagi.
BACA: Sukan Olimpik Tokyo mungkin dibatalkan jika COVID-19 masih berterusan
Terdahulu, Presiden Tokyo 2020, Yoshiro Mori berpendapat ia berkemungkinan tidak akan diteruskan sekiranya pandemik COVID-19 masih berterusan.
Menerusi temu bual bersama media tempatan NHK, beliau menyatakan harapan situasi pandemik ini beransur pulih, sambil menambah, hanya vaksin yang dapat membaik pulih keadaan ketika ini.
Pada Mac, Sukan Olimpik Tokyo 2020 ditangguhkan susulan penularan COVID-19, dan akan dilangsungkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.
Perkembangan itu menyaksikan Sukan Paralimpik pula berlangsung pada 24 Ogos sehingga 5 September 2021.
#batal #COVID-19 #Sukan Olimpik Tokyo 2020 #tangguh #Tokyo
;