Olimpik Rio: Komputer riba dan baju pasukan Australia dicuri

Agensi
Ogos 1, 2016 08:34 MYT
Delegasi Australia sebelum itu enggan menginap di perkampungan sukan kerana mendakwa wujud pelbagai masalah termasuk kebocoran air dan gas, ketiadaan bekalan elektrik dan fasiliti yang kotor. - Foto AP
Belumpun bermula secara rasmi, sukan Olimpik Rio sudah mencatat insiden kurang menyenangkan.
Delegasi Australia mendakwa anggotanya kehilangan barangan berharga termasuk komputer riba serta pakaian sukan dari rumah penginapan mereka.
Ketua Delegasinya, Kitty Chiller mendakwa barangan itu hilang ketika mereka diarah mengosongkan rumah berkenaan susulan kebakaran kecil.
“Satu komputer riba pegawai kami hilang di tingkat lima. Ruang teknologi maklumat operasi kami juga telah dipecah masuk tetapi tiada kecurian berlaku.
“Apabila kami sampai, ketika sedang membawa masuk barang, saya nampak berlaku tiga kebakaran kecil. Saya tak pasti dari mana api itu. Baju-baju sukan atlit juga hilang, tak pasti berapa yang hilang. Ya, ini sangat membimbangkan,” katanya kepada pemberita.
Perkampungan sukan mempunyai 31 bangunan yang menempatkan sehingga 18,000 atlit dan pekerja.
Atas sebab itu, Chiller bimbang pihak berkuasa tidak mampu memantau semua bangunan.
Delegasi Australia sebelum itu enggan menginap di perkampungan sukan kerana mendakwa wujud pelbagai masalah termasuk kebocoran air dan gas, ketiadaan bekalan elektrik dan fasiliti yang kotor.
#Australi #kecurian #Kitty Chiller #Olimpik Rio
;