Olimpik Paris: Altet Rusia, Belarus dibenar bertanding

Astro Awani
Disember 9, 2023 09:40 MYT
Keputusan IOC itu mengesahkan langkah yang dimulakan setahun lalu untuk mengintergrasikan semula Rusia dan sekutu tenteranya Belarus ke dalam sukan global. - Foto REUTERS
LAUSANNE: Beberapa atlet Rusia akan dibenarkan bertanding di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Perkara itu dimaklumkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Jumaat, selepas keputusan menarik semula larangan menyeluruh ke atas atlet negara itu susulan pencerobohan Rusia di Ukraine.
Keputusan IOC itu mengesahkan langkah yang dimulakan setahun lalu untuk mengintergrasikan semula Rusia dan sekutu tenteranya Belarus ke dalam sukan global.
Ia selepas sembilan bulan gesaan badan induk sukan untuk melihat cara bagi membenarkan atlet individu bersaing.
Bagaimanapun, ia terpulang kepada setiap badan induk Sukan Olimpik untuk menilai dan menguatkuasakan status neutral bagi atlet individu yang tidak menyokong perang secara aktif dan tiada kontrak yang ditandatangani kepada agensi keselamatan tentera atau negeri.
Mereka yang diberi status neutral mesti bersaing tanpa identiti kebangsaan bendera, lagu atau warna.
Namun, Rusia kekal dilarang daripada sukan berpasukan.
IOC berkata lapan warga Rusia dan tiga dari Belarus adalah antara 4,600 atlet di seluruh dunia yang setakat ini layak ke sukan musim panas yang dibuka pada Julai.
Rusia mempertaruhkan 335 atlet ke Sukan Olimpik Tokyo yang diadakan pada 2021 tetapi hanya berpuluh-puluh sahaja yang berkemungkinan bertanding di Paris.
Atlet dan pegawai dari Ukraine, termasuk Presiden Volodymyr Zelenskyy, berulang kali menggesa IOC untuk mengecualikan Rusia dan Belarus sepenuhnya daripada Olimpik kerana pencerobohan yang bermula pada Februari 2022.
#Sukan Olimpik Paris #IOC #Rusia #Belarus #atlet
;