Olimpik Paris 2024: Rusia kritik larangan atlet berhijab dalam upacara pembukaan

Astro Awani
Julai 28, 2024 01:15 MYT
Jawatankuasa Olimpik Perancis dilapor melarang pelari pecut Sounkamba Sylla dari upacara pembukaan kerana berhijab. - Foto X/Serap Balaman
MOSCOW: Kementerian Luar Rusia mengkritik Jawatankuasa Olimpik Perancis kerana melarang seorang atlet berhijab daripada mewakili negaranya pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024, pada Jumaat.
Jurucakap kementerian, Maria Zakharova menyifatkan larangan yang dikenakan terhadap pelari pecut Perancis, Sounkamba Sylla sebagai tindakan pengasingan yang ketara.
Zakharova dalam kenyataan berkata, atlet Muslim itu dihalang daripada mewakili negara pada upacara pembukaan dengan Jawatankuasa Olimpik Perancis didakwa merujuk larangan ‘memakai pakaian tradisonal’ dalam acara sukan.
Beliau menegaskan, keputusan itu menunjukkan sejauh mana acara sukan antarabangsa menyimpang daripada matlamat yang ditetapkan oleh gerakan Olimpik di Paris lebih 100 tahun lalu, bercanggah dengan semangat Olimpik.
Sebelum ini katanya, atlet Rusia dan Belarus juga tertakluk kepada pengasingan di bawah alasan yang tidak berasas.
Tambah beliau, larangan ini kemudiannya diperluaskan kepada media Rusia, dan kini atlet Perancis turut terjejas oleh mesin kawal selia pentadbiran politik diskriminasi ini.
Walaupun pegawai Perancis mendakwa menghargai kepelbagaian dan kebebasan bersuara, Zakharova berkata, mereka yang menentang berdepan sekatan yang boleh dilihat.
Menurut beliau, prinsip suci untuk memisahkan sukan daripada politik telah diinjak-injak oleh barat.
Jelas Zakhahira, mempertimbangkan keadaan sedemikian, sukan Olimpik tidak lagi memiliki ciri-ciri tersendiri yang membolehkan ia dilihat sebagai pertandingan sukan terbuka, jujur, adil dan demokratik.
Sukan Olimpik Paris 2024, bermula pada Jumaat sehingga 11 Ogos, dengan upacara pembukaan diadakan di sepanjang Sungai Seine.
#Sukan Olimpik Paris 2024 #Sounkamba Sylla #pelari pecut #larangan