Olimpik Paris 2024: Restoran makanan Cina jadi tumpuan pengunjung
Agensi
Ogos 9, 2024 09:15 MYT
Ogos 9, 2024 09:15 MYT
PARIS: Tidak berapa jauh dari lokasi perlawanan pingpong Olimpik Paris 2024, sebuah restoran Cina yang menghidangkan masakan Sichuan, 'Yang Xiao Chu' menjadi tumpuan pengunjung termasuk pegawai pasukan dan atlet.
Terletak hanya lima minit dari 'Paris Expo Porte de Versailles', restoran itu terus menjadi pilihan selepas pemain China, Fan Zhendong menewaskan pemain Perancis, Felix Lebrun dalam separuh akhir pingpong Sukan Olimpik.
Pengunjung di restoran tersebut datang dari seluruh dunia, termasuk peminat pasukan tenis meja Amerika Syarikat, Nick Starliper.
"Ia bagus. Ya, kami meninggalkan perlawanan ping-pong Cina-Perancis dan kemudian singgah di restoran dan saya mengetahui kedai ini daripada artikel 'New York Times'. Kami mendapat beberapa cadangan. Memang sedap, tetapi mulut saya berasa panas. Sangat pedas," katanya.
Dalam pada itu, restoran dimiliki oleh Tang Zhongqiu yang membeli perniagaan itu selepas pandemik memberitahu, dia tidak menjangka restorannya menjadi terkenal.
"Saya sangat gembira apabila saya melihat mereka. Mereka datang makan di tempat kami, bermaksud restoran kami diiktiraf. Kami mengambil gambar dengan mereka, mendapatkan autograf, dan mereka memberitahu makanan di sini lazat dan mereka akan datang lagi," katanya.
Restoran itu turut popular apabila menjadi pilihan dalam kalangan pemain pingpong sukan Olimpik, termasuk Wong Chun-ting dan Doo Hoi Kem dari Hong Kong yang datang selepas sesi latihan.