Olimpik Esukan pertama akan berlangsung pada 2025 di Arab Saudi
Amanz
Julai 14, 2024 09:15 MYT
Julai 14, 2024 09:15 MYT
ADAKAH esukan layak diletakkan pada tahap yang sama dengan acara sukan yang lain?
Soalan ini terjawab selepas Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan acara Olimpik Esukan pertama akan berlangsung di Arab Saudi pada tahun 2025.
IOC menandatangani persetujuan selama 12 tahun dengan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Arab Saudi untuk menganjurkan Olimpik Esukan.
Sebelum Sukan Olimpik Paris berlangsung bulan ini, ahli IOC akan bertemu untuk memilih bandar raya acara akan berlangsung serta apakah acara-acara yang akan dipertandingkan.
Besar kemungkinan bandar Qiddiya akan dipilih kerana stadium esukan terbesar dunia akan dibina di bandaraya futuristik ini lengkap dengan kerusi haptik 4D.
Tahun lalu Olympic Esports Finals 2023 telah berlangsung di Singapura mengetengahkan 10 acara iaitu Fortnite, Tic Tac Bow, WBSC eBaseball: Power Pros, Chess.com, Zwift, Just Dance, Gran Turismo 7, Virtual Regatta, Virtual Taekwondo, dan Tennis Clash.
Pilihan acara-acara di atas adalah agak terhad dan tidak selari dengan acara esukan yang lebih popular seperti The International, ESL, dan Evo.
Sebelum ini IOC telahpun mengatakan permainan yang melibatkan keganasan seperti CS:GO dan Tekken tidak akan dipertandingkan di Sukan Olimpik Esukan.
Ini sedikit sebanyak menghadkan peluang atlet esukan Malaysia untuk menunjukkan kemampuan mereka tahun depan.