Olaf Scholz pengerusi mesyuarat kabinet pertama kerajaan baharu Jerman

Astro Awani
Disember 8, 2021 23:12 MYT
Olaf Scholz (kanan) memberikan jambangan bunga kepada bekas Canselor Angela Merkel ketika majlis penyerahan tugas di Berlin, 8 Dis, 2021. (Foto AP)
OLAF Scholz tidak menunggu lama untuk mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama selepas dilantik sebagai Canselor Jerman.
Beliau akan mengetuai kabinet yang disertai 17 anggota, terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita.
Saiz kabinet baharu ini hanya bertambah seorang anggota, berbanding yang dibentuk Angela Merkel sebelum ini.
Karisma Scholz, Naib Canselor dan Menteri Kewangan semasa pentadbiran Merkel hanya menyerlah beberapa bulan lalu.
Beliau merupakan bekas Datuk Bandar Hamburg dan menjadi Menteri Buruh ketika berlaku krisis kewangan dunia 1998.
Berpengalaman luas dan seorang yang teliti selain menampilkan imej teknokrat, beliau tiada saingan lain semasa politik Jerman mencari pengganti Merkel sebelum ini.
Beliau dilihat berupaya membawa keluar Jerman daripada krisis khususnya selepas pandemik melanda dunia yang turut sama menjejaskan negara itu.
BACA: Canselor Jerman: Era pemerintahan Angela Merkel tamat selepas 16 tahun
Kabinetnya dibantu kepakaran Robert Habeck, pemimpin bersama Parti Greens sebagai Menteri Ekonomi Dan Iklim, portfolio baharu yang dibentuk Scholz.
Habeck juga akan memegang jawatan Naib Canselor.
Christian Lindner, pemimpin yang pro-perniagaan daripada parti Free Democrats dilantik sebagai Menteri Kewangan.
Sementara itu, seorang lagi pemimpin Parti Greens, Annalena Baerbock menjadi wanita pertama di Jerman diangkat sebagai Menteri Luar.
#mesyuarat Kabinet pertama #Jerman #Olaf Scholz #kabinet baharu Jerman