'OIC, UNSC dah tak berguna!' - Pakar tidak tolak kemungkinan Israel serang negara sekutu Iran
Nabilah Khaleeda
April 19, 2024 15:34 MYT
April 19, 2024 15:34 MYT
KUALA LUMPUR: "Ini adalah perang."
Pakar undang-undang antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Salawati Mat Basir berpandangan tidak mustahil untuk Israel menyerang negara berjiran Iran dengan tanggapan mereka sekutu yang bersekongkol dengan negara itu.
"Israel sememangnya ingin membuat serangan balas terhadap peluru berpandu yang dilancarkan Iran sebelum ini, namun mereka ada sasaran tertentu.
"Menteri Pertahanan mereka pada Khamis berkata, akan mengenal pasti semua lokasi yang berpotensi.
"Tidak semestinya sesebuah negara sahaja yang akan diserang, tetapi juga beberapa lokasi yang dirasakan menyokong serangan dibuat oleh musuh," kata Salawati.
Beliau dalam pada itu turut melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam memainkan peranan mengekang daripada meletusnya peperangan di antara Iran dan Israel.
Salawati secara khusus mengaitkan kekecewaannya terhadap pemimpin negara Eropah seperti Perancis yang didakwanya telah mendapat perkhabaran awal tentang rancangan serangan balas, namun tidak lakukan apa-apa untuk menghalangnya.
"Maaf cakap, OIC dah tak berguna dan tidak bermakna lagi. Mereka sewajarnya terlebih dahulu bercakap mengenai Palestin serta bagaimana untuk meredakan ketegangan.
"Boleh periksa, tidak ada apa apa dari OIC dan ini sangat mendukacitakan," katanya lagi.
Beliau turut menamakan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang dianggap lemah, khususnya apabila melibatkan Israel, disokong kuat pula oleh negara-negara Eropah seperti Perancis, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
"Israel seolah-olah mempunyai kuasa melebihi undang-undang antarabangsa," katanya.