OIC sokong krisis di Syria diselesaikan guna politik

Astro Awani
Mac 15, 2019 02:21 MYT
OIC menyokong penyelesaian politik dalam krisis yang berlaku terhadap pelarian Syria.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendesak komuniti antarabangsa untuk segera membantu pelarian Syria dan menyokong penyelesaian politik terhadap krisis tersebut pada Khamis.
Setiausaha Agung OIC, Dr Yousef Ahmad Al-Othaimeen berkata cubaan untuk mencari penyelesaian politik terhadap krisis itu harus disokong.
Beliau dilaporkan berkata perang saudara yang telah berlangsung sejak tahun 2011 menyebabkan kematian kira-kira sejuta orang dan kira-kira 13 juta lagi memerlukan pertolongan.
"Sebanyak 11 juta orang terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka," ujarnya pada satu sidang media di Brussels, sambil menggesa komuniti global mewujudkan dana kecemasan bagi membantu pelarian tersebut.
Beliau menegaskan bahawa OIC menyokong penyelesaian politik yang akan menyumbang kepada penubuhan negara Syria berdasarkan pluralisme, demokrasi dan sistem awam, serta menghormati hak asasi manusia.
#Brussels #hak asasi manusia #oic #pelarian syria #penyelesaian politik #perang saudara #pertubuhan kerjasama islam #Syria