OIC selar pembunuhan beramai-ramai Israel di Beit Lahiya, Gaza

Bernama
Oktober 20, 2024 07:30 MYT
Kemusnahan yang dapat dilihat di Beit Lahiya susulan serangan tentera rejim Zionis Israel. - Foto REUTERS
JEDDAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Ahad mengutuk pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh pendudukan Israel di Beit Lahiya, utara Semenanjung Gaza, yang mengorbankan lebih 70 rakyat Palestin dan mencederakan puluhan yang lain.
Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan OIC mengecam tindakan itu sebagai pencabulan terang-terangan terhadap semua norma antarabangsa, perjanjian, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan perintah berkaitan daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Pertubuhan itu menegaskan dalam satu kenyataan bahawa kesinambungan dan peningkatan jenayah perang, kemusnahan, kebuluran, perpindahan paksa, menyasarkan orang yang terlantar dan menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan adalah satu noda pada maruah kemanusiaan.
OIC menyeru masyarakat antarabangsa untuk memastikan Israel bertanggungjawab atas semua jenayah perang yang dilakukannya dan menamatkan dasar kekebalan.
OIC juga memperbaharui seruannya kepada Majlis Keselamatan PBB agar menunaikan tanggungjawabnya dan melaksanakan gencatan senjata segera dan menyeluruh, menyediakan perlindungan antarabangsa untuk rakyat Palestin serta memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan dengan segera ke seluruh kawasan Semenanjung Gaza
-- BERNAMA
#oic #genosid #israel serang gaza #Beit Lahiya
;