OIC kutuk tindakan Israel sasar orang awam dan pekerja di sekolah UNRWA

Bernama
September 14, 2024 18:00 MYT
OIC menganggap jenayah berkenaan sebagai lanjutan daripada jenayah pembunuhan, pemusnahan, perpindahan, kebuluran dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh pendudukan di Semenanjung Gaza. - Gambar fail/Reuters
RAMALLAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya jenayah pendudukan Israel yang menyasarkan pelarian dan pekerja di kemudahan yang bergabung dengan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), yang terbaru pengeboman Sekolah Al-Jaouni di kem Nuseirat, Semenanjung Gaza.
Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, pertubuhan itu menganggap jenayah berkenaan sebagai lanjutan daripada jenayah pembunuhan, pemusnahan, perpindahan, kebuluran dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh pendudukan di Semenanjung Gaza, yang melanggar peruntukan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Konvensyen Geneva, resolusi PBB yang berkaitan, dan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Ia memperbaharui seruannya kepada pihak antarabangsa yang aktif untuk memikul tanggungjawab mereka dan berusaha untuk melaksanakan Resolusi Majlis Keselamatan PBB No. 2735, yang menyeru gencatan senjata segera dan menyeluruh, pengunduran pasukan pendudukan, dan menamatkan penderitaan manusia yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Semenanjung Gaza.
Ia juga menekankan keperluan untuk menyediakan perlindungan antarabangsa untuk rakyat Palestin, dan bagi memastikan pendudukan Israel dipertanggungjawabkan atas semua jenayah dan pelanggaran yang dilakukannya di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis.
-- BERNAMA
#pertubuhan kerjasama islam #oic #UNWRA #serangan Israel #pengeboman Sekolah Al-Jaouni
;