OIC kutuk sekeras-kerasnya serangan Israel terhadap sekolah UNRWA di Gaza

Bernama
Jun 8, 2024 22:04 MYT
OIC mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Israel susulan serangan ke atas sebuah sekolah UNRWA yang menempatkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza. - Foto X/UNLazzarini
RAMALLAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Israel susulan serangan ke atas sebuah sekolah UNRWA yang menempatkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza.
Serangan pada Khamis mengakibatkan sekurang-kurangnya 40 orang awam terbunuh dan beberapa lagi cedera, kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak.
Dalam satu kenyataan, OIC memaklumkan pihaknya menganggap kejadian itu sebagai lanjutan daripada jenayah pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Semenanjung Gaza dan pelanggaran terang-terangan terhadap peruntukan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Konvensyen Geneva, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan, serta perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Organisasi itu juga mengalu-alukan keputusan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres untuk memasukkan Israel, kuasa pendudukan dalam senarai pelanggar hak kanak-kanak dalam konflik bersenjata atau yang dikenali sebagai "List of Shame".
Ketua badan dunia itu menganggap ia adalah langkah penting untuk menyokong kedaulatan undang-undang antarabangsa dan menamatkan budaya kekebalan terhadap jenayah perang Israel serta memastikan keadilan bagi mangsa, warga Palestin.
OIC menyeru masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil tanggungjawab mereka dan berusaha menghentikan serangan tentera Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin.
Ia seterusnya menggesa agar langkah-langkah serius diambil untuk memastikan bahawa pelaku jenayah perang dan jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin dibawa ke muka pengadilan.
-- BERNAMA
#oic #kutuk sekeras-kerasnya #serangan Israel #sekolah UNRWA di Gaza
;