OIC gesa siasatan pelanggaran Israel terhadap tahanan Palestin

Bernama
Ogos 3, 2024 08:30 MYT
OIC menyatakan kebimbangan mengenai peningkatan keganasan dan pelanggaran melampau yang dilakukan rejim Israel terhadap ramai tahanan Palestin.
ANKARA: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Jumaat menggesa siasatan segera dijalankan mengenai penderaan Israel terhadap tahanan Palestin, lapor Agensi Anadolu.
Seruan ini dibuat sebagai tindak balas kepada testimoni mengerikan daripada rakyat Palestin yang dibebaskan.
Dalam satu kenyataan, OIC menyatakan kebimbangan mengenai peningkatan keganasan dan pelanggaran melampau yang dilakukan rejim Israel terhadap ramai tahanan Palestin.
"Pelanggaran ini didokumentasikan dengan baik oleh pelbagai entiti undang-undang dan termasuk tindakan seperti hukuman mati, mepenyeksaan, kebuluran, rogol, pengasingan dan lain-lain," menurut kenyataan itu.
OIC menekankan bahawa pelanggaran ini telah mengakibatkan kematian 18 banduan Gaza di penjara Israel sejak 7 Oktober tahun lalu.
Organisasi itu juga mengecam gerakan penahanan sembarangan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Israel.
"Tindakan ini telah menyebabkan peningkatan ketara dalam bilangan tahanan Palestin, dengan jumlah semasa melebihi 9,700 orang termasuk 80 tahanan wanita, 52 wartawan dan lebih 250 kanak-kanak, di samping lebih 3,380 orang yang ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan rasmi.
"Hampir 600 tahanan menjalani hukuman penjara seumur hidup," menurut kenyataan itu.
Pertubuhan hak asasi manusia dan media Israel telah melaporkan penyeksaan dan pengabaian perubatan terhadap tahanan Palestin dari Gaza di kemudahan tahanan Israel.
-- BERNAMA
#oic #Israel #Palestin #penderaan
;