OIC gesa masyarakat antarabangsa bantah ucapan berbaur kebencian

Bernama
Jun 21, 2022 05:30 MYT
Blok Islam menzahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap penghinaan terhadap Nabi Muhammad oleh pegawai parti Bharatiya Janata yang memerintah India.
ANKARA: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Isnin menyeru masyarakat antarabangsa menentang ucapan berbaur kebencian dan provokasi terhadap agama, lapor Agensi Anadolu.
"OIC menyeru masyarakat antarabangsa agar menunjukkan keazaman kolektif untuk menghadapi semua manifestasi ucapan berbaur kebencian termasuk xenofobia, tidak bertoleransi dan hasutan kepada keganasan atas dasar agama atau kepercayaan," kata Duta Besar Pakistan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Munir Akram bagi pihak OIC semasa berucap pada persidangan peringkat tinggi PBB mengenai menentang ucapan bernada kebencian.
Blok Islam menzahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap penghinaan terhadap Nabi Muhammad oleh pegawai parti Bharatiya Janata yang memerintah India, tambahnya.
Duta itu juga menyebut bentuk provokasi anti-Islam lain, termasuk penerbitan semula kartun dengan kata-kata kesat oleh majalah Perancis Charlie Hebdo dan pembakaran naskhah al-Quran semasa demonstrasi anti-Islam di Sweden.
Akram memberi amaran kepada dunia bahawa "jika dibiarkan, ia boleh menghakis keamanan dan pembangunan, kerana tindakan sedemikian boleh mencetuskan konflik, ketegangan agama, dan pelanggaran hak asasi manusia berskala besar, dan boleh jadi pencetus jenayah kekejaman."
Beliau mengakhiri ucapannya dengan mengecam "amalan menghina Islam, Kristian, Yahudi dan mana-mana agama lain," sambil menambah bahawa blok itu "berdiri menentang semua tindakan kebencian dan keganasan atas dasar agama atau kepercayaan."
Penganjuran persidangan itu oleh PBB menandakan Hari Antarabangsa pertama untuk menentang Ucapan Berbaur Kebencian di tengah kemarahan dunia Islam berikutan ucapan menghina Nabi Muhammad oleh jurucakap parti pemerintah India.
-- BERNAMA
#oic #Islamfobia #kebencian terhadap Islam #PBB
;