OIC desak tindakan segera ke atas pencabulan Masjid Al-Aqsa oleh tentera Israel
Media Statement
September 17, 2015 14:18 MYT
September 17, 2015 14:18 MYT
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendesak ketua beberapa pertubuhan antarabangsa yang terkenal supaya mengambil tindakan segera berhubung pencerobohan dan pencabulan tentera Israel ke atas tempat suci Islam, Masjid Al-Aqsa serta wilayah pentabdiran Palestin, kata Setiausaha Agungnya Iyad Ameen Madani.
Madani dalan satu kenyataan berkata beliau telah mengutus surat mengenai perkara itu kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon, Ketua Wakil Kesatuan Eropah bagi Dasar Luar dan Polisi Keselamatan Federica Mogherini, Pengerusi bagi Suruhanjaya Kesatuan Afrika Nkosazana Dlamini-Zuma, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Putera Zeid bin Raad dan Ketua Pengarah UNESCA, Irina Bokova.
Katanya, dalam surat itu beliau telah memaklumkan mengenai perkembangan terkini di Al-Quds, termasuk pencabulan oleh Israel yang disifatkan sebagai antara paling agresif pernah dilakukan rejim itu dalam tempoh sedekad.
"Tindakan Israel itu yang paling teruk pernah disaksikan akan menyebabkan Masjid Al-Aqsa terpisah secara sementara mengikut kaedah yang ditetapkan oleh Israel," katanya.
Madani menegaskan, OIC turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa.
"Tindakan tentera zionis membakar beberapa bahagian masjid itu serta menyerang mereka yang beribadat dan menangkap sesiapa sahaja yang berada di perkarangan masjid berkenaan bertentangan dengan kebebasan untuk beribadat serta mencabuli perjanjian dan konvensyen antarabangsa yang melindungi kawasan ibadat," katanya.
Menurutnya, OIC turut kesal dengan sikap semborono kerajaan Israel dalam pendiriannya membenarkan pendatang Yahudi menceroboh perkarangan Al-Aqsa di bawah pengawasan dan pelindungan tentera Israel.
"Tindakan itu melukakan hati umat Islam. Ini bukan kali pertama mereka (kerajaan Israel) bersikap lepas tangan dalam perkara itu ketika seluruh dunia hanya menyaksikan sahaja tanpa sebarang tindakan," katanya.
Madani berkata, OIC akan meneruskan usaha dan tindakan untuk menyekat pencerobohan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa kerana masjid itu merupakan tempat suci umat Islam serta begitu penting kepada dunia Muslim sebagai kiblat yang pertama serta masjid suci ketiga di dalam Islam.
Katanya, sekretariat agung OIC sedang membuat persiapan bagi mengadakan sidang kemuncak Luar Biasa yang akan menjadikan situasi di Palestin dan Masjid Al-Aqsa sebagai agenda utama perbincangan.