OIC adakan mesyuarat luar biasa bincang jenayah pendudukan Israel

Bernama
Ogos 5, 2024 15:15 MYT
OIC berkata mesyuarat itu juga akan membincangkan pembunuhan Pengerusi Biro Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh serta pencerobohan terhadap kedaulatan Iran.
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat luar biasa terbuka Jawatankuasa Eksekutifnya di peringkat Menteri Luar pada Rabu ini di Sekretariat Agung OIC, Jeddah untuk membincangkan jenayah berterusan pendudukan Israel terhadap rakyat Palestin.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, OIC berkata mesyuarat itu juga akan membincangkan pembunuhan Pengerusi Biro Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh serta pencerobohan terhadap kedaulatan Iran.
"Sebagai tindak balas terhadap kekejaman yang dilakukan oleh pendudukan Israel terhadap rakyat Palestin, terutamanya di Semenanjung Gaza, mesyuarat ini diadakan," menurut kenyataan itu.
Menurut OIC, sehingga kini, tindakan Israel itu telah mengakibatkan kematian lebih 40,000 individu dan kecederaan kepada lebih 91,000 rakyat Palestin, kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak.
"Selain itu, harta benda awam, termasuk 430,000 rumah, telah dimusnahkan, bersama dengan infrastruktur, kemudahan kesihatan dan pendidikan, tempat ibadat, dan tapak bersejarah.
Hampir dua juta rakyat Palestin telah terpaksa berpindah dari kediaman mereka," katanya.
-- BERNAMA
#oic #mesyuarat luar biasa #jenayah pendudukan Israel #Palestin #Ismail Haniyeh