OceanGate tangguh semua operasi eksplorasi, komersial susulan kecelakaan Titan
Bernama
Julai 7, 2023 14:43 MYT
Julai 7, 2023 14:43 MYT
WASHINGTON: OceanGate pada Khamis menerusi laman sesawangnya mengumumkan bahawa "semua operasi eksplorasi dan komersial" syarikat itu akan ditangguhkan.
Keputusan itu diambil selepas kapal selam Titan mengalami ledakan "implosion" ketika melakukan ekspedisi meneroka bangkai kapal Titanic pada 18 Jun, lapor Agensi Anadolu.
Tragedi itu menyebabkan CEO syarikat dan empat penumpang yang lain terbunuh.
Kapal selam pelancong sepanjang 21 kaki (6.5 meter) itu terputus komunikasi dengan kapal induknya kurang dua jam dalam perjalanannya untuk melihat bangkai kapal Titanic, yang terletak lebih 2 batu (hampir 4 kilometer) di bawah permukaan lautan Atlantik Utara.
Analisis menunjukkan serpihan yang ditemui di dasar laut, kira-kira 500 meter dari bangkai Titanic adalah konsisten dengan letupan ruang tekanan kapal selam itu.
Pengumuman itu menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) multinasional sejak kapal pelancong kecil itu dilaporkan hilang.
-- BERNAMA