Ocean Infinity beri bayangan kembali dalam misi pencarian MH370

Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 6, 2022 12:37 MYT
Ocean Infinity mungkin kembali dalam misi pencarian MH370 pada 2023. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Syarikat eksplorasi persendirian, Ocean Infinity memberi bayangan kemungkinan untuk kembali semula ke lautan dalam misi pencarian MH370, pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang sejak lapan tahun lalu.
Perkara itu disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Oliver Plunkett pada Upacara Memperingati Ulang Tahun ke-8 kehilangan pesawat malang itu yang diadakan secara maya hari ini.
Jelas Plunkett, pihaknya kini sedang mempersiapkan kapal pencarian yang dilengkapi dengan sistem pengesanan yang lebih canggih berbanding sebelum ini.
"Kami akan persiapkannya dan ia memerlukan banyak tugas untuk kapal berkenaan dipersiapkan sebelum perbincangan dengan pihak kerajaan (Malaysia). Kami juga berharap akan terus mendapat sokongan daripada pihak kerajaan Australia seperti sebelum ini.
“Kapal yang berbeza dan mungkin ia adalah kapal yang paling canggih di dunia dan kami sedang merancang untuk membinanya tanpa perlu ada manusia di atas kapal tersebut,” jelasnya pada sidang video secara maya yang turut dihadiri oleh sebahagian daripada anggota keluarga yang terlibat.
Jelasnya lagi, setakat ini pihak Ocean Infinity juga bersetuju dengan syarat sebelumnya iaitu tiada bayaran dikenakan sehinggalah mereka menemukan pesawat tersebut.
Bagaimanapun katanya ia tertakluk kepada persetujuan oleh pihak kerajaan Malaysia sama ada membenarkan usaha pencarian tersebut atau tidak, yang mungkin akan dilakukan menjelang 2023 nanti.
Pada 2018 Ocean Infinity pernah melakukan usaha pencarian dan menjangkakan akan menemui bangkai pesawat malang itu dalam tempoh sebulan.
Dilaporkan, ia dijangka bakal meraih insentif besar jika menemui pesawat itu kerana dipercayai dalam perjanjian pencarian, mereka akan dibayar sehingga AS$70 juta, jika berjaya menemui pesawat terbabit dan kotak hitamnya.
Bagaimanapun usaha tersebut turut menemui kegagalan dan bangkai pesawat malang itu masih gagal ditemui.
Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 bermula setelah ia hilang ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Bagaimana dan mengapa pesawat canggih Boeing 777 yang membawa 227 penumpang dari pelbagai negara dan 12 anak kapal itu hilang tanpa dapat dikesan radar terus menjadi teka-teki hingga ke hari ini, di sebalik pencarian besar-besaran yang pernah dilakukan dalam sejarah penerbangan.
#AS #Australia #Malaysia #MH370 #pesawat #video