Obsesi peminat pada tahap tertinggi menjelang perkahwinan diraja
Agensi
April 18, 2018 16:58 MYT
April 18, 2018 16:58 MYT
Adik kepada pewaris kedua takhta Britain, Putera Harry bakal melangsungkan perkahwinan bersama pilihan hatinya, Meghan Markle pada Mei ini di Istana Windsor, United Kingdom.
Rata-rata rakyat British berasa amat teruja dengan perkhabaran gembira itu.
Namun ada pula dalam kalangan mereka dilaporkan terlalu obses hingga mengakibatkan gangguan kepada kesihatan mental.
Laporan Reuters yang memetik pandangan pakar menyebut bahawa kebimbangan kesihatan mental dalam kalangan peminat pasangan tersebut kini berada pada tahap tertinggi sejak Putera Harry dan Meghan mengumumkan pertunangan mereka pada Disember 2017.
Menurut laporan itu, peminat yang terlalu obses terhadap sesuatu sehingga keluar daripada realiti kehidupan sebenar hanya akan merosakkan diri mereka dan berkemungkinan memberi kesan yang sangat berbahaya, kata pakar psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Langone New York, Sue Varma.
"Saya tidak mempunyai masalah dengan minat terhadap keluarga diraja; saya tidak rasa ia satu masalah besar.
"Namun obsesi hanya akan menyebabkan seseorang kekurangan masa pada aktiviti lain, antaranya meluangkannya dengan anak-anak atau pasangan masing-masing,” kata Sue.
"Masalah hidup dalam dunia fantasi ini sangat rumit kerana ia tidak mempunyai hubungan atau interaksi di antara dua pihak,” tambahnya.
Pakar psikiatri itu juga menjelaskan bahawa obsesi terhadap selebriti,khususnya pasangan diraja Putera Harry dan Meghan, boleh membawa kepada masalah keyakinan diri seperti gangguan dismorfik badan.
"Jika orang ramai terlalu taksub dengan selebriti, ia akan menyebabkan mereka hilang keyakinan diri.
"Tanggapan bahawa diri mereka tidak setanding selebriti idaman hanya akan membuatkan mereka memilih untuk melakukan sesuatu bagi memperbaiknya, termasuk menjalani pembedahan plastik," jelasnya lagi.
Menjelang majlis perkahwinan pasangan diraja itu, Sue meminta peminat agar bijak mengawal emosi dan memastikannya agar berada pada tahap tidak melampau yang boleh membahayakan diri.