oBike dari Malaysia, Singapura diberi kepada kanak-kanak Myanmar secara percuma
Agensi
Jun 22, 2019 05:00 MYT
Jun 22, 2019 05:00 MYT
PERKHIDMATAN perkongsian basikal tanpa stesen, oBike, yang musnah akibat perbuatan laku musnah (vandalism) yang dilakukan oleh segelintir masyarakat di Malaysia dan Singapura kini menjadi sinar baharu buat kanak-kanak di Myanmar.
Menurut laporan berita Channel News Asia (CNA), seorang pelabur teknologi, Mike Than Tun Win mengambil keputusan untuk membeli 10,000 buah basikal daripada syarikat oBike untuk dibaikpulih sebelum diserahkan secara percuma kepada golongan kanak-kanak miskin di sana.
Than Tun Win mengambil tindakan itu bagi memperbaiki kehidupan kanak-kanak tersebut dengan harapan dapat memudahkan mereka untuk mendapatkan akses pendidikan.
Harga sebuah basikal mencecah AS$35 (RM144), termasuk kos penghantaran serta pengedaran.
Jumlah keseluruhan pembelian dibayar separuh oleh beliau manakala yang lain ditanggung oleh para penaja.
Program amal yang diterajui sendiri Than Tun Win dan diberi nama Lesswalk itu memulakan sesi pemberian basikal kepada kanak-kanak miskin di bandar Yangon terlebih dahulu sebelum pergi ke rantau Mandalay dan Sagaing.
Menurut salah seorang kanak-kanak penerima bantuan, Thae Su Wai, dia tidak perlu lagi berjalan kaki sejauh 10 kilometer selama dua jam untuk ke sekolah pada setiap hari.
Matlamat Lesswalk adalah untuk mengekalkan momentum dalam memberikan sejumlah 100,000 buah basikal dalam tempoh lima tahun di Myanmar.
Tambah beliau lagi, basikal oBike mungkin tidak bernilai di Singapura, tetapi ia sangat berharga buat penduduk di negara yang hidup dalam kemiskinan.
oBike diperkenalkan pada tahun 2017 di Malaysia sebagai alternatif pengangkutan buat masyarakat untuk berbasikal jika tempat yang ingin dituju itu mengalami kesesakan lalu lintas.
Walau bagaimanapun, setahun kemudian perkhidmatan oBike itu gagal akibat daripada perbuatan masyarakat yang tidak bertanggungjawab melakukan vandalisme ketika menggunakannya. - Agensi
#akses pendidikan
#basikal
#derma
#Kanak-kanak
#kemiskinan
#kesesakan
#Lesswalk
#Malaysia
#Mike Than Tun Win
#Myanmar
#oBike
#pelabur
#Singapura
#teknologi
#vandalism