Obama tiba untuk lawatan bersejarah ke Cuba
Astro Awani
Mac 21, 2016 08:57 MYT
Mac 21, 2016 08:57 MYT
Barack Obama tiba di Cuba pada Ahad yang mana ia disifatkan sebagai salah satu lawatan bersejarah sepanjang beliau menjadi Presiden Amerika Syarikat.
Kunjungan Obama itu adalah yang pertama bagi seorang presiden Amerika sejak Revolusi Cuba pada 1959.
Dalam lawatan itu, Obama dijadual bertemu Presiden Raul Castro dan mereka dijangka membincangkan hal-hal berkaitan ekonomi dan perdagangan serta reformasi politik.
Namun,Obama tidak akan mengadakan pertemuan dengan bekas ketua Revolusi Cuba, Fidel Castro.
Dalam pada itu kerajaan Cuba telah bersiap sedia untuk membahaskan segala persoalan sempena kunjungan bersejarah itu termasuk hak asasi manusia dan demokrasi.
[GALERI FOTO]: Lawatan bersejarah Barack Obama ke Cuba
Namun pejabat Kementerian Luar memberitahu kedua persoalan berkenaan tidak termasuk dalam agenda mesyuarat.
Biarpun kedua-dua negara selama ini bermusuhan akibat perang dingin, kunjungan pertama Obama ini sememangnya dinanti-nantikan oleh ramai rakyat Cuba.
Turut serta dalam lawatan Obama itu ialah isterinya Michelle serta kedua-dua anak mereka, Malia dan Sasha Obama.
Sejurus selepas mendarat, Obama keluar dari pesawat Air Force One sambil tersenyum diikuti oleh Michelle dan anak-anak mereka.
Sambil memegang payung, keluarga ternama dari negara Uncle Sam itu berjalan di kapet merah di dalam hujan renyai sambil disambut oleh Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez.
Dua jam selepas mendarat, Obama meluangkan masa beramah-mesra dengan wakil negara yang sedang berkhidmat di Cuba dalam satu majlis pembukaan semula Kedutaan Amerika Syarikat di negara itu.
Keluarga Obama kemudiannya memulakan tinjauan mesra ke kawasan Old Havana dengan melawat sebuah gereja lama di situ.