Obama tiba di China tanpa layanan istimewa di lapangan terbang
Agensi
September 5, 2016 21:26 MYT
September 5, 2016 21:26 MYT
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Barack Obama yang tiba di lapangan terbang Hangzhou, China untuk menghadiri persidangan G20, tidak mendapat layanan protokol standard seperti yang lazim dibuat untuk meraikan kunjungan rasmi mana-mana pemimpin dunia.
Obama dilaporkan terpaksa turun menggunakan pintu dan tangga di bahagian belakang pesawat Air Force One.
Tindakan itu mencetuskan beberapa spekulasi, seolah-olah China sengaja tidak mempedulikan pemimpin nombor satu AS itu.
Namun, laporan South China Morning Post mendedahkan bahawa pihak Obama sendiri yang tidak mahu layanan istimewa itu.
Seorang pegawai dari Kementerian Luar China berkata, ia merupakan keputusan pihak kerajaan AS agar Obama turun dari sudut belakang pesawat Air Force One.
"China menyediakan tangga bergerak untuk setiap pemimpin dunia yang tiba, tetapi pihak AS mengadu bahawa pemandu tidak bertutur dalam Bahasa Inggeris dan tidak boleh memahami arahan keselamatan dari Amerika Syarikat.
“Justeru itu China mencadangkan supaya seorang penterjemah duduk di sebelah pemandu, tetapi pihak AS menolak cadangan itu dan menegaskan bahawa mereka tidak memerlukan tangga bergerak yang disediakan oleh lapangan terbang," kata pegawai itu.
China pada Isnin menegaskan bahawa pihak AS dan petugas media bertanggungjawab mencetuskan kontroversi tentang insiden di lapangan terbang berkenaan.
Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying, berkata pihaknya sudah cuba untuk menjawab kekecohan tersebut, yang seolah-olah menunjukkan China gagal mengikut protokol standard sewaktu menyambut Obama, hingga mencetuskan spekulasi hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
"Saya rasa, jika pihak AS menghormati lebih awal akan urusan kerja dengan China, pasti kekecehan ini tidak terjadi," ujar Chunying.