Obama seru rakyat Ferguson bertenang

Agensi
November 25, 2014 10:40 MYT
Penduduk Ferguson bertindak ganas susulan keputusan mahkamah untuk tidak mendakwa pegawai polis yang telah menembak mati remaja tidak bersenjata pada 9 Ogos lalu. - Foto AP/The Seattle Times/Mark Harrison
Barack Obama memohon rakyat di Ferguson, Missouri khususnya, bertenang dan menerima keputusan juri terhadap pegawai polis yang didakwa menembak mati remaja kulit hitam, Michael Brown, Ogos lalu.
Ucapan Presiden Amerika Syarikat itu menyusul selepas mahkamah sebulat suara melepas dan membebaskan anggota polis terlibat, Darren Wilson.
Kenyataan Obama itu senada yang disuarakan keluarga Brown, tidak mahu keganasan terus berlaku di bandar itu.
Obama pada masa sama, tidak mahu insiden di Ferguson dan protes yang dijalankan itu menjadikan hubungan antara kaum di negara itu tegang.
Beliau sebaliknya menggesa, semua komuniti berganding bahu memikirkan penyelesaian terbaik berhubung kes tersebut.
Dalam kejadian Ogos lalu, Brown yang tidak bersenjata ditembak mati pegawai polis dengan enam das tembakan.
Sementara itu, rapat umum di Ferguson terus tegang dan menjadi ganas susulan rasa tidak puas hati terhadap keputusan juri.
Penduduk mendakwa keputusan itu bersifat perkauman.
Mereka bertindak liar dengan memecahkan cermin tingkap kedai, memukul serta merosakkan kenderaan polis memaksa lebih 20 anggota dikerah ke tempat kejadian.
Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi meleraikan keadaan.
Keputusan perbicaraan mendapati, Wilson terpaksa melepaskan tembakan sebanyak 12 kali bagi mempertahankan diri selepas terbabit dalam perbalahan dengan Brown dan pihak juri berpendapat tidak ada alasan bagi pihak berkuasa memfailkan tuduhan.
Penduduk Ferguson bertindak ganas susulan keputusan mahkamah untuk tidak mendakwa pegawai polis yang telah menembak mati remaja tidak bersenjata pada 9 Ogos lalu.
Lebih 20 polis dikerah apabila penduduk memecahkan cermin tingkap kedai, memukul polis serta merosakkan kenderaan polis malam Isnin.
#Amerika Syarikat #Barack Obama #Darren Wilson #Ferguson #Micheal Brown