Obama sentuh isu kesamarataan kaum dalam ucapan terakhir

Agensi
Januari 11, 2017 12:57 MYT
Obama berpandangan, ketika ini isu kaum terus menjadi duri dalam daging yang memecahbelahkan Amerika. -
Presiden Barack Obama menyentuh isu kesamarataan, hubungan antara kaum dan demokrasi di Amerika Syarikat dalam usaha untuk terus bergerak ke hadapan dalam ucapan terakhirnya sebagai pemimpin nombor satu negara itu.
Beliau menggesa agar warga Amerika supaya bekerja lebih keras demi menjamin semua kaum mendapat akses sama rata kepada pendidikan, pekerjaan dan kekayaan di negara itu.
Obama berpandangan, ketika ini isu kaum terus menjadi duri dalam daging yang memecahbelahkan Amerika.
Namun tegasnya, hubungan antara kaum ketika ini adalah lebih baik berbanding 30 tahun lalu.
“Saya hidup cukup lama untuk mengetahui hubungan antara kaum sudah jauh lebih baik berbanding 30 tahun lalu.
“Anda boleh lihat bukan sahaja dalam bentuk statistik, anda boleh lihat perubahan sikap kalangan belia dalam spektrum politik. Kita hanya mengekalkan apa yang kita ada. Kita perlu berusaha lebih kuat,” kata Obama dalam ucapannya itu.
Ucapan terakhir Obama dibuat di Chicago, tempat di mana semua kejayaan dan kerjaya politiknya bermula.
Dalam ucapan hampir sejam itu, Obama turut menolak diskriminasi yang wujud terhadap umat Islam di negara itu.
Penggal pentadbiran Obama selama lapan tahun tamat secara rasminya 20 Januari depan, sebaik sahaja Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45.
Obama merupakan presiden kulit hitam pertama negara Uncle Sam itu.
#Amerika Syarikat #Barack Obama #kesamarataan kaum #presiden as
;