Obama perkenal inisiatif rangsang ekonomi ASEAN
Agensi
Februari 17, 2016 15:44 MYT
Februari 17, 2016 15:44 MYT
Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama mengumumkan beberapa insiatif AS-ASEAN bertujuan untuk merangsang ekonomi di Asia Tenggara menerusi pembukaan beberapa hab serantau.
Inisatif itu termasuk membuka tiga pejabat dagangan di Jakarta, Bangkok dan Singapura bagi memastikan koordinasi dan jalinan ekonomi antara usahawan, pelabur serta an ahli perniagaan yang lebih baik.
“Saya juga mengumumkan inisiatif baharu, 'US-ASEAN Connect', iaitu rangkaian hab merentas rantau untuk mengkoordinasi ekonomi kita dengan lebih baik dan menghubungkan lebih ramai usahawan, pelabur dan perniagaan.
“Kita juga sedang melakukan yang lebih banyak untuk membantu pencetus inovasi di rantau ini untuk mempelajari Bahasa Inggeris, bahasa perniagaan antarabangsa,” ujar Obama.
Bercakap pada sidang media pada hari terakhir Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN di California pada Selasa, Obama berkata, pelaksanaan beberapa inisiatif ekonomi itu berikutan keyakinan rantau tersebut bakal menjadi rakan dagang AS yang lebih penting.
Menurut Obama, pakej jalinan AS-ASEAN itu termasuk nasihat teknikal seperti negara Indonesia dan Filipina boleh membuat persediaan untuk menyertaai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Inisiatif lain, termasuk fokus kepada mengukuhkan kerjasama dagangan dalam beberapa sektor, seperti komunikasi dan infrastruktur, di samping memperkemas program-program kerajaan semasa.
Turut menjadi tumpuan ialah sektor tenaga yang menyaksikan penyertaan China yang begitu aktif, termasuk membina empangan di hulu Sungai Mekong.
Dalam pada itu, White House dalam satu kenyataan susulan pengumuman oleh Obama mengenai jalinan AS-ASEAN, berkata, pelaksanaan inisiatif itu adalah kerana AS melihat ASEAN sebagai ekonomi baru yang muncul untuk mengimbangkan penguasaan ekonomi serantau oleh China.
Secara kolektifnya, 10 negara ASEAN, ketika ini merupakan rakan dagang terbesar keempat terbesar AS.