Obama komited selesai masalah negara, perkukuh kepercayaan agensi dan rakyat
APTN
Disember 4, 2014 20:37 MYT
Disember 4, 2014 20:37 MYT
Barack Obama kekal komited untuk mengukuhkan kepercayaan di antara anggota penguatkuasa dan komuniti.
Presiden Amerika Syarikat itu menegaskan, masalah yang berlaku adalah masalah negara dan bukan hanya membabitkan kumpulan minoriti, kulit hitam mahupun orang asli.
Katanya, ia sudah menjadi tanggungjawab kepadanya untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.
"Banyak jenayah yang berlaku di luar sana yang harus ditangani pihak polis setiap hari. Mereka hanya dapat menyelesaikan masalah jenayah ini jika semua mempunyai keyakinan terhadap sistem.
"Malangnya kini, kita lihat ramai yang tidak mempercayai sistem dan mendakwa dilayan tidak adil. Dalam kes tertentu, mungkin ia adalah persepsi, tetapi dalam beberapa kes lain, itulah realitinya.
"Sebagai rakyat Amerika, amat penting bagi kita tanpa mengira bangsa, kaum dan warna kulit, melihat ini sebagai masalah negara, bukannya masalah perkauman," katanya.
Kenyataan Obama berkenaan menyusul selepas juri membebaskan seorang anggota polis berkulit putih yang didakwa mencekik seorang lelaki berkulit hitam sehingga menyebabkan kematian.
Keputusan itu terus mencetuskan ketegangan perkauman di New York, selepas kes menembak mati remaja kulit hitam di Ferguson masih belum lagi reda.
Dalam pada itu, penduduk di New York terus berang dengan tindakan juri membebaskan anggota polis berkenaan.
Meskipun mempunyai video rakaman sebagai bukti kesalahan, namun keputusan itu sudah dijangka.
"Walaupun ada rakaman, kes di Ferguson, tidakkah anda nampak? Rakaman video itu tidak bermakna apa-apa. Ini memalukan. seluruh dunia menyaksikan lelaki itu membunuh mangsa. kami melihatnya, semua menyaksikannya, tetapi apabila tiba di pihak juri, ia sebaliknya. bagaimana anda tidak nampak itu?" kata seorang penduduk.
"Sebelum keputusan itu keluar, semua orang sudah dapat menjangkakan apa keputusannya. Mereka yang mencipta undang-undang, mereka yang menguatkuasakannya dan mereka yang menentukannya," kata seorang lagi penduduk.
Dalam kejadian itu, mangsa, Eric Garner disahkan mati selepas seorang anggota polis di Jabatan Polis New York, Daniel Pantaleo mencekik semasa menahan Eric.