Obama ikrar tangani ketaksamaan ekonomi rakyat Amerika
Astro Awani
Januari 21, 2015 12:35 MYT
Januari 21, 2015 12:35 MYT
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berikrar mahu menangani isu jurang ketaksamaan ekonomi dalam kalangan rakyat negara itu melalui satu pelan baru ekonomi yang akan memberikan penekanan kepada golongan kelas menengah.
Dalam ucapannya kepada Kongres, Obama menegaskan dasar ekonomi yang memberikan penekanan kepada golongan kelas menengah terbukti telah berjaya membawa Amerika keluar daripada krisis ekonomi yang dialami beberapa tahun lalu.
"Ekonomi kelas menengah berjaya. Meluaskan peluang berkesan. Semua dasar ini akan terus berjaya selagi tidak dihalang oleh politik," kata Obama dalam ucapan penanggungjawaban pada sidang tahunan Kongres di Washington.
Menurut Obama, beliau akan mengemukakan pelan baru ekonomi dengan idea-idea yang praktikal itu dalam masa dua minggu akan datang, sebelum menjelaskan idea-idea tersebut dalam siri jelajah ke seluruh Amerika dalam beberapa bulan akan datang.
Pelan ekonomi baru itu antara lain akan mencadangkan sistem sokongan kepada golongan pekerja melalui pengurangan cukai yang akan menambah pendapatan boleh belanja.
Ini termasuk potongan cukai untuk penjagaan anak, cuti sakit bergaji yang terjamin, gaji minimum yang lebih tinggi serta pendidikan kolej komuniti percuma.
Obama menyifatkan Amerika telah berjaya mengharungi tempoh 15 tahun pertama abad ke-21 dan inilah masanya untuk menentukan hala tuju untuk beberapa dekad akan datang.
"Adakah kita akan menerima sebuah ekonomi yang hanya sebahagian daripada kita berjaya dengan cemerlang? Atau adakah kita akan menyanggupi sebuah ekonomi yang akan menjana pendapatan yang meningkat dan peluang kepada semua yang berusaha?"
Dalam ucapannya, Obama turut menggesa pemimpin politik Amerika untuk mengelak daripada bertelingkah dalam politik pecah belah sebaliknya bersatu untuk menjayakan pelan baru ekonomi itu.