Obama angkat sumpah di White House

Astro Awani
Januari 20, 2013 23:12 MYT
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang memulakan penggal kedua pemerintahannya secara rasmi pada Ahad, mengangkat sumpah dalam satu upacara ringkas di Bilik Biru White House.
Majlis angkat sumpah itu disempurnakan oleh ketua hakim negara, John Roberts dan disaksikan oleh isteri Obama, Michelle dan dua anak perempuannya.
Ketika membacakan ikrar sumpah jawatannya, Obama bertekad untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan Amerika Syarikat.
Satu upacara angkat sumpah di khalayak akan dilangsungkan pada Isnin.
Dijangkakan seramai 800 ribu orang akan menghadiri majlis berkenaan.
Sementara itu, Naib Presiden Amerika Syarikat, Joseph Biden mengangkat sumpah di Naval Observatory, kediaman rasmi beliau di Washington.
Upacara angkat sumpah Biden itu disempurnakan oleh hakim Mahkamah Agung, Sonia Sotomayor./
Biden dikelilingi oleh anggota keluarga dan kenalan rapatnya ketika upacara itu berlangsung.
#Amerika Syarikat #angkat sumpah #Barack Obama #joseph biden #White House