Nyaris maut ikan masuk kerongkong
Sinar Harian
Februari 6, 2021 09:35 MYT
Februari 6, 2021 09:35 MYT
BOGOTA: Berpantang maut sebelum ajal. Itu perumpamaan sesuai bagi menggambarkan situasi seorang pemuda yang kritikal selepas tercekik ikan yang dipancingnya.
Insiden pelik itu dilaporkan berlaku di pekan kecil Pivijay, Colombia pada 23 Januari lalu.
Menurut media tempatan, pemuda berusia 24 tahun itu datang sendiri ke unit kecemasan di Hospital Santander Herrera, namun sukar menjelaskan kepada petugas kesihatan berhubung kejadian yang menimpanya.
Pemuda itu dilihat sukar bernafas dan sekadar memberi isyarat sesuatu masuk ke dalam kerongkongnya.
Selepas menjalani imbasan x-ray, doktor segera menjalankan prosedur mengeluarkan ikan tersebut yang tersekat di bahagian atas salur pernafasan.
"Lelaki itu memberitahu dia memegang ikan tersebut di mulut dan ia tercicir hingga masuk ke kerongkong ketika sedang memancing," kata doktor.
Doktor mengesahkan pesakit dirawat selama dua hari dan telah pulih sepenuhnya.