Nyanyian Lady Gaga dipuji, tapi Amanda Gorman lebih menyinar

AP Newsroom
Januari 21, 2021 16:21 MYT
Amanda Gorman merupakan penyajak termuda yang dijemput dalam acara angkat sumpah presiden AS. - Reuters
AMERIKA SYARIKAT bukan sahaja mempunyai presiden baharu, tetapi juga bintang sastera baharu.
Nama penyajak muda, Amanda Gorman, yang dijemput membacakan puisi pada acara angkat sumpah Joe Biden sebagai presiden semalam, menjadi inspirasi hashtag #BlackGirlMagic dan menerima pujian bekas presiden, Barack Obama dan Michelle Obama.
Malah Gorman mendapat perhatian lebih daripada Lady Gaga, yang turut menerima pujian atas nyanyian lagu kebangsaan yang penuh emosi.
Gorman, 22, merupakan penyajak termuda yang dijemput dalam acara sedemikian, sekali gus meletakkan namanya sebaris penyajak hebat seperti Robert Frost dan Maya Angelou.
Dengan mengenakan kot berwarna kuning rekaan pereka Itali Miuccia Prada, dilengkapi dengan perhiasan kepala Prada berwarna merah, wanita kelahiran Los Angeles itu tampil begitu menyerlah.
Gorman mendedahkan kepada Vogue bahawa jaket pilihannya adalah satu tanda sokongan kepada wanita pertama AS, Jill Biden, yang sempat ditemuinya menjelang upacara itu.
Jill merupakan individu yang menjemput Gorman untuk membacakan sajak pada acara tersebut.
Difahamkan, Jill mula mengenali Gorman sejak tahun 2017 selepas satu sesi bacaan di Library of Congress, di mana Gorman mengenakan jaket dengan warna yang hampir serupa.
Gorman, pemenang Penyair Pemuda Nasional pertama AS, memaklumkan The Associated Press minggu lalu bahawa dia mahu menggabungkan sajak yang membawa mesej harapan tanpa mengabaikan "bukti perselisihan dan perpecahan."

So humbled by everyone's support! If you'd like to read more of my words, you can pre-order my first ever poetry collection, The Hill We Climb, here! @penguinrandom https://t.co/vNSo3WFpuf

— Amanda Gorman (@TheAmandaGorman) January 20, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Penguin Young Readers pada hari Rabu mengumumkan bahawa sajak Gorman, The Hill We Climb akan diterbitkan dalam edisi khas musim bunga ini. Dua bukunya yang lain juga akan diterbitkan dalam edisi khas September depan, termasuk Change Sings.
Change Sings pada lewat Rabu menduduki tempat pertama dalam daftar terlaris di Amazon.com, dan buku koleksi puisinya pula di tangga kedua.
Gorman sebelum ini mempunyai 206,000 pengikut di Instagram namun jumlah itu naik mendadak sehingga mencecah 1.3 juta selepas tamat acara angkat sumpah.
#Amanda Gorman #penyajak #Joe Biden #AS #presiden #Amerika Syarikat #angkat sumpah
;