Nyamuk diimplan bakteria jadi vaksin semulajadi sekat denggi
Astro Awani
November 5, 2013 19:42 MYT
November 5, 2013 19:42 MYT
Para santis telah berjaya menemui kaedah untuk mengurangkan penyebaran wabak denggi dengan menjangkiti nyamuk aedes dengan bakteria dari lalat buah.
Nyamuk yang diimplan dengan bakteria Wolbachia bertindak sebagai vaksin semulajadi menyekat nyamuk dijangkiti virus denggi selain memendekkan kitaran nyawa nyamuk pembawa itu.
Di Institut Kebersihan dan Epidemiologi, Vietnam, nyamuk dengan sengaja dijangkiti dengan bakteria yang dipanggil Wolbachia.
Ia berfungsi menghalang nyamuk daripada dijangkiti denggi sekaligus mengelaknya daripada memindahkan penyakit itu kepada orang ramai.
Penemuan bakteria itu turut mendapat perhatian saintis di Universiti Monash, Australia.
Wolbachia adalah bakteria yang biasanya ditemui dalam kebanyakan serangga terutama lalat buah.
Penyelidikan di sebuah komuniti kecil di Australia berjaya membuahkan hasil yang memberangsangkan.
Setelah dua setengah tahun, nyamuk yang dijangkiti Wolbachia didapati telah mengambil alih populasi asal nyamuk dengan 95 peratus daripadanya kekal dominan.
Kajian Universiti Oxford menganggarkan kira-kira 390 juta orang di negara-negara tropika dijangkiti denggi setiap tahun.
Ia adalah tiga kali ganda berbanding angka dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebelum ini.