Nusantara punyai potensi besar untuk pelancongan Indonesia, Malaysia - Sandiaga
Bernama
Februari 4, 2023 18:03 MYT
Februari 4, 2023 18:03 MYT
JOGJAKARTA : Ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur yang berkongsi sempadan dengan Sarawak dan Sabah di Malaysia dijangka dapat membantu meningkatkan lagi aktiviti pelancongan antara kedua-dua negara.
Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno berkata pemindahan ibu negara dari Jakarta akan memberi manfaat dan meningkatkan ekonomi bukan sahaja buat Indonesia malah juga untuk Malaysia menerusi peningkatan jumlah ketibaan pelancong.
"Saya fikir ia situasi sama menang kerana aktiviti pelancongan akan meningkat di bahagian negara itu. Dijangka berlaku aliran pelancong dan berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.
"Kami (Indonesia) juga percaya bahawa ini akan mewujudkan pengimbangan semula pertumbuhan bukan sahaja di Jawa tetapi juga memberi manfaat kepada Kalimantan dan Indonesia secara keseluruhan.
"Saya amat percaya ini juga akan membawa 'kesan domino' dengan limpahan pelancong ke kedua-dua hala," kata beliau dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di luar Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2023 yang diadakan di sini dari 3 hingga 5 Februari.
Bertemakan ASEAN: A Journey to Wonderful Destinations, ATF 2023, acara pelancongan terbesar di rantau ini yang bertujuan untuk membangunkan destinasi utama pelancongan serantau serta antarabangsa selain mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan.
Pada Januari tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan rasmi ke republik itu juga menyatakan bahawa pembangunan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan akan memberi manfaat kepada ekonomi serantau di negeri-negeri Malaysia timur.
Menyentuh mengenai ATF 2023, Sandiaga berkata sekarang adalah penting buat semua negara anggota ASEAN bekerjasama secara kolektif untuk meningkatkan sektor pelancongan serantau terutamanya dalam pemulihan pantas daripada pandemik.
Memetik ucapan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing di forum itu, Sandiaga berkata kerjasama antara negara anggota akan membantu memulihkan pelancongan serantau secara bersama.
"...memandangkan sekarang kita berada dalam fasa pascapandemik dan kita juga adalah jiran dan bersaudara, mengapa kita tidak melihat cara untuk bekerjasama dengan semangat ASEAN itu? Saya menyokong sepenuhnya apa yang beliau (Tiong) katakan," tambahnya.
Bernama melaporkan Tiong berkata semua negara ASEAN mesti menggunakan platform ATF dalam memulihkan sektor pelancongan dan tidak ada gunanya bersaing antara satu sama lain.
Jogjakarta sebelum ini pernah menganjurkan ATF pada 2002.
-- BERNAMA