Nuklear: Korea Utara didakwa tambah kapasiti loji
Astro Awani
September 18, 2021 07:54 MYT
September 18, 2021 07:54 MYT
KOREA Utara didakwa dalam proses meluaskan loji pengayaan uraniumnya di Kompleks Nuklear Yongbyon.
Ini memberi bayangan republik itu berhasrat meningkatkan pengeluaran bahan bom nuklearnya.
Perkembangan ini didedahkan laporan Institut Pengajian Antarabangsa Middlebury berdasarkan imej satelit terbaharu yang diperoleh.
Pendedahan ini juga menyusul tindakan Pyongyang melancarkan ujian peluru berpandunya yang pertama dalam tempoh enam bulan.
Tindakan itu meningkatkan lagi ketegangan di Semenanjung Korea.
Laporan itu juga mendedahkan, berdasarkan imej dirakam pada 1 September, Korea Utara membersihkan kawasan hutan dan dipercayai sedia menjalankan kerja pembinaan.
Kawasan binaan itu dianggarkan seluas 1,000 meter persegi dan cukup untuk memuatkan tambahan 1,000 alat nuklear, bagi meningkatkan kapasiti penghasilan uranium diperkaya 25 peratus.