Nuklear: Korea Selatan, AS, Jepun gesa dunia hantar balik pekerja Korea Utara

Bernama
April 7, 2023 12:43 MYT
Ketiga-tiga negara itu akan menangani secara berkesan provokasi masa depan Korea Utara. - Gambar fail/ Reuters
SEOUL: Duta nuklear tertinggi Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun yang mengadakan rundingan tiga hala di sini pada Jumaat menyeru masyarakat antarabangsa supaya menghantar pulang semua warga Korea Utara yang bekerja di luar negara selaras dengan sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atas provokasi Korea Utara.
Ketua perunding nuklear Korea Selatan Kim Gunn bertemu rakan sejawatannya dari AS dan Jepun, Sung Kim dan Takehiro Funakoshi, di bangunan kementerian luar di Seoul bagi membincangkan usaha bersama untuk mengatasi ancaman nuklear dan peluru berpandu yang semakin meningkat dari Pyongyang, menurut agensi berita Yonhap.
Sesi tiga hala itu kali terakhir diadakan pada Disember di Jakarta.
Dalam kenyataan, Seoul, Washington dan Tokyo menggesa masyarakat antarabangsa supaya menghantar pulang semua pekerja Korea Utara ke luar negara dan menyeru Korea Utara mematuhi tanggungjawabnya mengikut resolusi Majlis Keselamatan PBB.
"Kami mengulangi kebimbangan bahawa pekerja teknologi maklumat (IT) DPRK di luar negara terus menggunakan identiti dan kewarganegaraan palsu untuk mengelak sekatan Majlis Keselamatan PBB dan memperoleh pendapatan di luar negara bagi membiayai program WMD (senjata pemusnah besar-besaran) dan peluru berpandu balistik DPRK yang menyalahi undang-undang," kata Yonhap memetik kenyataan itu.
DPRK adalah singkatan Republik Demokratik Rakyat Korea, nama rasmi Korea Utara.
Di bawah sekatan PBB, semua negara anggota dikehendaki menghantar pulang warga Korea Utara yang memperoleh pendapatan dalam bidang kuasa mereka.
Ketiga-tiga utusan itu juga mengutuk sekeras-kerasnya provokasi peluru berpandu Korea Utara baru-baru ini di tengah-tengah ketegangan baharu di Semenanjung Korea.
"Kami menyatakan kekesalan mendalam bahawa DPRK terus mengabaikan kesusahan rakyatnya, sebaliknya memilih untuk mencurahkan sumber yang terhad ke dalam program peluru berpandu WMD dan balistik yang jelas melanggar pelbagai resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC)," kata utusan itu dalam kenyataan bersama pertama mereka sejak penubuhan pentadbiran konservatif Yoon Suk Yeol pada Mei tahun lalu.
Bercakap kepada pemberita, Kim berkata "taksub nuklear Pyongyang ibarat bumerang yang akan merosakkan diri sendiri dan memusnahkan masa depan semua rakyat Korea Utara."
Beliau menegaskan bahawa ketiga-tiga negara itu akan menangani secara berkesan provokasi masa depan Korea Utara dan mengurangkan aliran pendapatan yang membiayai aktiviti haramnya, ketika rejim tertutup itu sedang bersiap sedia untuk membuka semula sempadannya.
-- BERNAMA
#Korea Utara #Korea Selatan #AS #nuklear
;