Nuklear Iran: Rundingan diteruskan masuk pusingan ke-6

Astro Awani
Jun 12, 2021 07:40 MYT
Rundingan Perjanjian Nuklear Iran yang berlangsung di Vienna, Austria, pada April 6, 2021. - Gambar fail REUTERS
RUNDINGAN tidak langsung antara Tehran dan Washington untuk mengembalikan Perjanjian Nuklear Iran 2015 diteruskan di Vienna pada Sabtu.
Perbincangan pusingan keenam dimulakan seperti biasa oleh Iran, Rusia, China, Perancis, Britain, Jerman dan Kesatuan Eropah (EU).
Delegasi Amerika Syarikat atau Suruhanjaya Bersama Pelan Tindakan Komprehensif (JCPOA) pula berada di sebuah hotel di seberang jalan di ibu kota Austria itu.
Ketua penyelaras rundingan itu, Pegawai Dasar Luar EU Enrique Mora berkata, beliau menjangkakan kesepakatan dalam pusingan rundingan kali ini.
Utusan lain bagaimanapun lebih berhati-hati kerana terdapat banyak masalah yang sukar diselesaikan.
Bagaimanapun, jurucakap EU berkata, terdapat kemajuan dalam rundingan namun perbincangan agak tegang susulan beberapa isu, termasuk bagaimana tindakan perlu dilaksanakan.
Namun, sasaran kini terarah kepada bagaimana untuk mendapatkan kesepakatan paling hampir dengan perjanjian akhir dalam beberapa hari akan datang.
Perunding Tertinggi Iran, Abbas Araqchi berkata, tidak mungkin rundingan itu selesai sebelum pemilihan Presiden Iran, pada Jumaat (18 Jun).
Perjanjian Nuklear Iran 2015 terbatal susulan Presiden Donald Trump menarik keluar Amerika Syarikat pada 2018 dan mengenakan sekatan ekonomi terhadap Iran.
Iran bertindak balas dengan melanggar had menghasilkan uranium ke tahap lebih tinggi sehingga mencapai tahap senjata nuklear.
#EU #Kesatuan Eropah #Amerika Syarikat #Washington #ekonomi #Britain #Jerman #rundingan #perjanjian nuklear #Iran
;