NTD: WHO gesa pelaburan tangani jangkitan penyakit tropika terabai
Astro Awani
Januari 31, 2023 10:30 MYT
Januari 31, 2023 10:30 MYT
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa pelaburan lebih besar untuk memerangi penyakit tropika terabai (NTD) yang menyebabkan lebih 1.6 bilion individu, terutamanya yang berada di negara kurang membangun, memerlukan rawatan pada 2021.
NTD merupakan keadaan penyakit yang ditemui terutamanya di kawasan tropika, termasuk denggi, kusta, dan rabies.
Ia disifatkan sebagai penyakit terabai kerana sebahagian besar negara tidak mendapat dana yang mencukupi untuk rawatan.
Menurut WHO, NTD memberi kesan yang tidak seimbang kepada golongan miskin terutamanya mereka yang berada di kawasan yang tidak mempunyai akses air bersih, sanitasi, dan sistem penjagaan kesihatan mencukupi.
Malah, menurut Pengarah Bahagian NTD bagi WHO, Soce Fall, penyakit ini diabaikan memandangkan ia tidak dialami oleh negara-negara maju.
Justeru, beliau menggesa perlindungan untuk semua tidak kira di mana individu itu berada.
Pada 2021, sekitar 1.65 bilion orang dilapor memerlukan rawatan NTD dengan 857 juta di Asia Tenggara dan 584 juta di Afrika.