'Nora Anne perlu perhatian khusus' - Bapa saudara rayu bantuan
Agensi
Ogos 4, 2019 06:32 MYT
Ogos 4, 2019 06:32 MYT
BAPA saudara remaja perempuan warga Ireland yang dilaporkan hilang dari resort di Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad melahirkan rasa bimbang dan risau dengan keadaan Nora Anne Quoirin yang masih belum ditemui.
Menurut Michael Agnew, anak saudaranya yang berusia 15 tahun itu tidak membesar seperti remaja lain kerana memerlukan perhatian yang lebih khusus dan rapi.
Memetik laporan Daily Mail, Agnew menerusi lama Facebook miliknya meminta mana-mana rakan yang mempunyai hubungan di Malaysia untuk bersama-sama membantu mencari Nora Anne.
“Rakan-rakan yang mempunyai hubungan di Malaysia agar terus berhubung dengan saya jika anda fikir dapat memberi bantuan.
“Anak saudara saya hilang di Seremban yang jaraknya sekitar satu jam atau lebih dari Kuala Lumpur.
“Dia berusia 15 tahun dan perlu bantuan yang khusus. Hilang malam tadi apabila semua keluarganya telah masuk tidur,” katanya menerusi Facebook.
Status Agnew di Facebook mendapat perkongsian hampir 1,500 orang dengan komen sekitar 150 yang rata-ratanya menyuarakan rasa sedih atas kehilangan Nora Anne.
Terdahulu pada Ahad, pihak polis daerah Nilai giat menggerakkan usaha mengesan Nora Anne.
Misi pencarian ke atas mangsa melibatkan anggota bomba dan polis dari unit anjing pengesan K9 Ibu Pejabat Polis Kotinjen (IPK) Negeri Sembilan.
Polis mengesahkan menerima laporan daripada pemilik hotel yang didiami Nora pada jam 1.30 petang.
Setakat jam 11.30 malam tadi, mangsa belum dijumpai dan gerakan mencari mangsa diteruskan.
Dalam pada itu, Catherine Cook yang merupakan rakan kepada keluarga mangsa berkata Nora Anne lazimnya tidak akan keluar ke mana-mana seorang diri.
“Saya juga seorang ibu dan berita ini amat menyedihkan. Saya tidak boleh bayangkan apa yang mereka sedang lalui sekarang.
“Dalam pengetahuan saya, kerajaan Perancis dan Ireland sedang membantu mereka.
“Alangkah baiknya jika agensi dan kerajaan di seluruh dunia tampil memberi sokongan,” jelasnya.
#Catherine Cook
#Michael Agnew
#Nora Anne Quoirin
#remaja perempuan warga Ireland hilang
#unit anjing pengesan