Niwatthumrong Boonsongpaisan diumum PM baharu Thailand
Astro Awani
Mei 7, 2014 17:22 MYT
Mei 7, 2014 17:22 MYT
Timbalan Perdana Menteri Niwatthumrong Boonsongpaisan diumumkan sebagai Perdana Menteri sementara yang baharu menggantikan Yingluck Shinawatra yang disingkirkan oleh Mahkamah Perlembagaan hari ini.
Pengumuman pelantikan itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Phongthep Thepkanjana selaras dengan peruntukan undang-undang, lapor The Nation.
Sementara itu, Parti Pheu Thai dalam satu kenyataan menyelar keputusan mahkamah tersebut dan menyifatkannya sebagai satu konspirasi untuk menggulingkan kerajaan yang demokratik.
Parti itu juga menyeru rakyat yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu untuk menyatakan bantahan baik melalui tunjuk perasaan secara aman atau cara-cara lain yang aman.
Ia juga mengumumkan akan mengirimkan bekas ahli Parlimennya untuk bertemu dengan rakyat di kawasan masing-masing untuk menjelaskan pendirian parti tersebut berhubung keputusan mahkamah itu.
Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini memutuskan Yingluck dan sembilan menteri kabinetnya perlu meletakkan jawatan kerana didapati menyalahguna kuasa bersabit pertukaran jawatan Ketua Majlis Keselamatan Negara, Thawil Pliensri dua tahun lalu.