Nissan hasilkan cat kurangkan suhu kereta sehingga 12°C

Amanz
Ogos 11, 2024 06:00 MYT
Cat itu mengandungi dua partikel dengan satu memantulkan gelombang sinar inframerah dekat dan satu lagi menghasilkan gelombang elektromagnet. -Amanz
MALAYSIA negara yang panas dan ia akan menjadi semakin panas disebabkan oleh perubahan iklim.
Antara isu yang kami yakin pernah pembaca alami ialah kabin dan tubuh kereta yang panas apabila diletakkan di bawah cahaya matahari di tempat parkir.
Nissan kini telah berjaya membangunkan cat baharu yang menurut mereka boleh mengurangkan suhu kereta sehingga 12°C.
Cat itu mengandungi dua partikel dengan satu memantulkan gelombang sinar inframerah dekat dan satu lagi menghasilkan gelombang elektromagnet.
Kombinasi kedua-dua partikel ini akan memantulkan lebih banyak tenaga matahari daripada permukaan kereta sekali gus mengurangkan suhu permukaan.
Ujian telah dilakukan sejak November tahun lalu pada kenderaan Nissan NV100 yang digunakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda.
Permukaan tubuh kereta didapati 12°C lebih rendah manakala suhu di alam kabin pula 5°C lebih rendah berbanding kereta cat konvensional.
Walau bagaimanapun cat ini masih belum sedia digunakan pada kenderaan yang dijual oleh Nissan.
Isu pertama ialah ia lebih tebal – sekitar 400 mikron berbanding cat biasa yang hanya setebal 20 mikron. Ini akan meningkat kos pengeluaran dan berat kenderaan.
Lebih banyak kajian akan dilakukan Nissan untuk menjadikannya lebih nipis. -Amanz
#Nissan #cat kurangkan suhu kereta #gelombang sinar inframerah dekat #gelombang elektromagnet