Nilai kemanusiaan, semangat kebersamaan warnai tugas 3 tahun Ludinata

Bernama
Disember 31, 2012 11:39 MYT
Tiga tahun adalah jangka waktu yang sederhana singkat bagi kebanyakan orang, tetapi bagi Ludinata Misnun ia merupakan tempoh masa yang cukup berharga untuk menimba banyak pengalaman tentang erti nilai kemanusiaan dan semangat kebersamaan.
Pada hari terakhir tahun 2012 hari ini, Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta itu pulang ke tanah air bersama keluarganya dengan penuh rasa bersyukur kerana telah dapat memberikan khidmat dan bakti kepada kira-kira 6,000 pelajar Malaysia yang bertebaran di seluruh Indonesia selama tiga tahun yang lalu.
Ludinata, 35, dari awalnya memang menyedari hakikat akan berdepan cabaran besar dalam tugasnya kerana keadaan di Indonesia yang terdedah kepada bencana alam seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, tsunami dan banjir dan atas kesedaran itulah dia menguatkan semangat untuk menjalankan tugas.
Sepanjang di Indonesia, dua pengalaman sekaligus kenangan yang tidak boleh beliau lupakan ialah misi menyelamat pelajar Malaysia di Yogyakarta semasa bencana letusan Gunung Merapi pada tahun 2010 dan pengalaman menguruskan enam jenazah pelajar Malaysia untuk dibawa pulang ke tanah air, termasuk seorang pelajar yang menjadi mangsa kes bunuh.
"Saya masih ingat pada hari pertama kejadian letusan Merapi, semua orang sedang sibuk lari menyelamatkan diri keluar dari kawasan di sekitar gunung berapi itu, sebaliknya kami iaitu saya dan bekas Pengarah Education Malaysia (EM) Indonesia Datuk Paduka Dr Junaidi Abu Bakar sibuk menuju ke kawasan bencana pula," katanya dalam satu temubual di sini.
Perkara itu berlaku kerana mereka sedang berusaha sampai ke kawasan penempatan pelajar Malaysia di kawasan sekitar Merapi, dalam misi menyelamatkan para pelajar Malaysia dari kota Yogyakarta dan Magelang, untuk dibawa pulang ke tanah air bagi meghindarkan mereka daripada bahaya akibat bencana itu.
Misi menyelamat itu yang dijalankan dengan bantuan Pasukan Sukarelawan Perubatan Pelajar Malaysia dari Yogyakarta dan Solo pimpinan Mohd Nazaludin Md. Nazir, memindahkan pelajar Malaysia dari kota Yogyakarta ke kota Solo, sebelum diterbangkan pulang ke tanah air dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
"Di situlah saya belajar bagaimana mengendalikan pengurusan krisis dengan bantuan Kerajaan Malaysia seperti Angkatan Tentera Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Majlis Keselamatan Negara dan pihak pemerintah Indonesia," katanya.
Beliau percaya pengalaman menguruskan enam jenazah pelajar Malaysia itu, tidak akan dapat dilupakan juga oleh beberapa pelajar Malaysia di tahun akhir bidang perubatan yang sedang menjalani latihan klinikal di hospital di Padang, Malang, Medan, Bandung dan Jakarta pada waktu itu, kerana mereka turut sama membantu urusan itu.
"Kami menguruskan dari mula hingga selesai jenazah disempurnakan. Mencari dan membeli keranda, memandikan jenazah, mengeluarkan darah, menyuntik formalin, menjahit luka jenazah pelajar yang mati dibunuh, kemudian mengkafankan atau memakaikan pakaian bagi yang bukan Islam, hinggalah selesai mereka disempurnakan pemakaman di tanah air.
"Kami trauma dan menangis bersama-sama ketika penyempurnaan jasad sahabat di depan mata terutamanya ketika menguruskan mayat mendiang Adrian Jay Preirera, yang meninggal dunia dibunuh di Kota Malang," katanya.
Mereka juga bersama-sama menguruskan mayat Dr Yagneswaran Subramaniam yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kota Padang dan menyediakan mayat itu untuk upacara penghormatan terakhir kerana ketiadaan pihak pengurusan agama Hindu di kota itu.
"Yang paling saya terkilan ialah usaha membantu pelajar Allahyarham Mohd Fauzi Md Zein melalui Yayasan Kebajikan Negara belum sempat berjaya sepenuhnya kerana beliau terlebih dahulu meninggal dunia akibat kanser paru-paru. Inilah antara kenangan yang tak mungkin saya lupakan sepanjang hayat saya," katanya.
Pengalaman menguruskan keselamatan pelajar Malaysia semasa beberapa kejadian gempa bumi seperti di Aceh dan Bali turut menambahkan pengalaman berharga kepada Ludinata terutamanya dalam menggerakkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dibangunkan semasa EM ditadbir oleh Dr Junaidi.
SOP itu akhirnya telah digunapakai dengan penambahbaikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di EM seluruh dunia, malah EM Indonesia juga dirujuk oleh Kementerian Luar Negeri dalam membangunkan SOP serupa untuk diguna pakai oleh pejabat perwakilan Malaysia di luar negara, katanya.
"Tindakan cekap dan berkesan pimpinan pelajar Malaysia di semua 16 Cawangan di seluruh Indonesia dalam persediaan berdepan dengan bencana ini memungkinkan kami dapat mengelak lebih banyak jiwa menjadi korban.
"Saya menghargai kerjasama semua pelajar Malaysia dalam hal ini dan sistem yang telah ada ini akan menjadikan semua pelajar lebih bersedia pada masa akan datang," katanya.
Kepada para pelajar Malaysia di Indonesia, beliau berpesan agar mereka dapat mengambil iktibar daripada pengalaman selama mereka belajar di negara ini dan berusaha mengelakkan daripada melakukan kesilapan dan kesalahan.
"Yang kita perlukan adalah rasa keyakinan diri bahawa kita sendirilah yang semestinya menentukan masa depan kita, masa depan yang hendak kita wujudkan. Pulanglah ke tanah air setelah berjaya kelak untuk berbakti kepada agama bangsa dan negara," katanya.
#Atase pendidikan #Jakarta #Kedutaan Besar Malaysia #Ludinata Misnun
;