NGO misi flotila Gaza 2010 umum lancar armada baharu
Astro Awani
Februari 11, 2024 09:15 MYT
Februari 11, 2024 09:15 MYT
ISTANBUL: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Turki yang menganjurkan misi flotila Gaza 2010 mengumumkan sedang menyediakan armada baharu, pada Sabtu.
Misi kali ini adalah untuk memecahkan kepungan di Gaza, wujudkan gencatan senjata dan menyampaikan bantuan kemanusiaan ke bandar itu.
Presiden Kumpulan Amal Islam Turki (IHH), Bulent Yildirim berkata, gabungan Freedom Flotilla sedang membeli kapal dan merancang untuk memulakan pelayaran pada akhir Mac.
Katanya, jumlah kapal tidak akan kurang daripada Mavi Marmara yang merujuk kepada flotila 2010 yang terdiri daripada lapan kapal dan salah satunya adalah kapal penumpang Mavi Marmara.
Pada 31 Mei 2010, komando Israel menyerbu Mavi Marmara di perairan antarabangsa membawa kepada perbalahan yang menyebabkan sembilan warga Turki maut dan berpuluh-puluh aktivis cedera.
Gabungan Freedom Flotilla terdiri daripada IHH dan Persatuan Mavi Marmara dari Turki, serta beberapa organisasi lain dari Eropah, Amerika Utara, Afrika dan Asia.