Ngeri, kereta 'terbang' di Formula 3 Macau

Sinar Harian
November 20, 2018 09:49 MYT
Rakaman penuh dramatik tular di media sosial berdurasi 30 saat itu meraih 3.2 juta tontonan.
PEMANDU remaja Jerman, Sophia Floersch retak tulang belakang selepas terlibat dalam kemalangan ngeri pada final Piala Dunia Formula 3 (F3) di Macau.
Memetik CNN, rakaman penuh dramatik tular di media sosial berdurasi 30 saat itu meraih 3.2 juta tontonan.
Rakaman itu mendapati kereta yang dipandu Floersch, 17, hilang kawalan ketika berada pada kelajuan tinggi, sebelum melambung dan menghempap kereta pelumba lain lalu merempuh penghadang di kawasan media.
Penganjur Grand Prix Macau dalam satu kenyataan berkata, Floersch sudah sedar dan dipindahkan ke hospital, manakala pemandu Jepun, Sho Tsuboi yang dilanggarnya turut cedera.
Memetik Twitter Sophia Floersch, dia dalam keadaan baik dan akan membuat pembedahan esok dan berharap peminat mendoakan kesejahteraan dirinya.
Manakala tiga lagi individu iaitu seorang marsyal serta dua jurugambar turut terlibat dalam kemalangan itu dimasukkan ke hospital.
Seorang jurugambar dari Jepun mengalami gegaran tetapi sedar serta stabil, manakala jurugambar dari China mengalami masalah pernafasan.
Perlumbaan dihentikan serta merta selepas bendera merah dikibar, namun selepas sejam tertangguh ia kemudian diteruskan.
Floersch adalah pemandu sedang meningkat dalam sukan permotoran selepas melakar rekod pelumba termuda muncul juara Kejohanan Remaja Ginneta 2015 pada usia 14 tahun.
Dia memulakan karier daripada go-kart di usia lima tahun dan mengembangkan sayapnya ke Formula 4 pada 2015.
#cedera #China #final #Grand Prix #Hospital #Jepun #kemalangan #kereta #media sosial #Piala Dunia #remaja #sukan
;