New Zealand umum buka semula ekonomi dan sesi persekolahan
Agensi
Mei 11, 2020 18:08 MYT
Mei 11, 2020 18:08 MYT
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern pada Isnin rancang untuk membuka semula ekonomi dan sesi persekolahan dalam tempoh 10 hari.
Hampir kesemua sektor perniagaan seperti kedai runcit, pusat beli-belah, restoran, salon rambut dan gimnasium akan kembali beroperasi bermula Khamis.
Menurut Ardern, meskipun New Zealand telah berjaya mengurangkan kes positif harian COVID-19, orang ramai tetap disarankan agar menjaga penjarakan sosial dan menghadkan pergerakan pada satu masa.
“Sekiranya ada yang tidak kena dengan kumpulan 10 orang, itu lebih mudah dibendung, lebih mudah untuk dihubung sekiranya berlaku pengesanan kes. Jika ada sesuatu yang tidak diingini berlaku, seluruh negara akan mengalami lebih banyak sekatan.
“Bagaimanapun, itu tidak bermaksud bahawa anda tidak akan melihat perhimpunan orang yang lebih besar di sekitar anda.
“Misalnya, orang akan keluar pergi menonton filem, tetapi semuanya perlu menjaga jarak. Mereka akan menonton sukan, tetapi akan diasingkan.
“Orang mungkin pergi keluar menikmati pertunjukan, tetapi mereka juga akan duduk berjauhan. Anda akan melihat bar dan restoran dibuka, tetapi mereka diminta supaya duduk berjauhan,” jelas Ardern.
Demikian itu, sekolah akan dibuka semula pada Isnin depan manakala bar dikatakan menjadi premis terakhir yang akan dibenarkan untuk beroperasi bermula 21 Mei.
New Zealand kini mencatatkan hampir 1,500 kes positif COVID-19 dengan 21 kematian.