New Zealand tamatkan baki sekatan COVID-19
Agensi
Ogos 14, 2023 20:29 MYT
Ogos 14, 2023 20:29 MYT
WELLINGTON: Kerajaan New Zealand akan menarik balik beberapa sekatan terakhir COVID-19 mulai tengah malam pada Selasa, menamatkan sekatan pandemik COVID-19 yang paling ketat di dunia selepas lebih tiga tahun.
Menteri Kesihatan, Ayesha Verrall berkata dalam satu kenyataan pada Isnin bahawa mulai Selasa, orang ramai tidak perlu lagi memakai pelitup muka di kemudahan penjagaan kesihatan atau mengasingkan diri selama tujuh hari selepas dijangkiti virus itu.
“Walaupun bilangan kes akan terus turun naik, kami tidak menjangkakan kemuncak COVID-19 seperti tahun lepas. Ini, beserta dengan tahap imuniti penduduk, kita berada pada kedudukan selamat untuk menamatkan sekatan COVID-19,” kata Verrall.
Kebanyakan sekatan telah ditamatkan tahun lepas kerana kadar vaksinasi mencapai tahap yang tinggi dan perkhidmatan kesihatan negara itu berjaya melalui musim sejuk tanpa dibebani peningkatan kes.
Walaupun pengendalian pandemik oleh kerajaan New Zealand diiktiraf secara global kerana mengekalkan kadar jangkitan dan kematian pada paras yang rendah, ia dikritik penduduk tempatan kerana sekatan berpanjangan, termasuk penutupan sekolah dan sempadan.
Perdana Menteri, Chris Hipkins menyifatkan penamatan rasmi sekatan adalah satu pencapaian penting.
“Saya percaya warga New Zealand boleh berbangga dengan apa yang kita capai bersama. Kita semua berkorban, mengambil vaksin dan sama sekali tidak ada persoalan yang kita telah berjaya melaluinya,” katanya pada sidang media mingguannya.
Walaupun tidak lagi wajib, Kementerian Kesihatan New Zealand masih mengesyorkan agar orang ramai berada di rumah selama lima hari jika tidak sihat atau diuji positif virus berkenaan.