New Zealand rangka undang-undang supaya Google, Meta bayar kandungan berita

Bernama
Disember 5, 2022 16:30 MYT
Jika dikuat kuasa, syarikat gergasi internet itu harus membuat perjanjian dengan saluran media tempatan sebelum mendapat akses kepada kandungan berita. - Reuters
ISTANBUL: Google dan Meta mungkin perlu membayar sejumlah wang kepada New Zealand bagi memperoleh kandungan berita tempatan memandangkan negara itu sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan undang-undang baharu itu, lapor Agensi Anadolu.
Menteri Penyiaran New Zealand Willie Jackson berkata sekiranya undang-undang itu dikuat kuasa, "syarikat gergasi internet itu harus membuat perjanjian dengan saluran media tempatan sebelum mendapat akses kepada kandungan berita."
"Kami mungkin telah kehilangan 50 peratus wartawan dalam tempoh 10 tahun yang lalu. Kami perlu memberi harapan kepada pemain kecil di luar sana. Saya berbangga untuk mengemukakan undang-undang ini demi menyokong mereka.
"Adalah tidak adil bagi platform digital utama seperti Google dan Meta berkongsi berita tempatan secara percuma. Ia memerlukan kos untuk menghasilkan berita dan adil sekiranya mereka membayar untuk perkhidmatan itu," laman sesawang berita Stuff memetik beliau sebagai berkata pada Ahad.
Beberapa penerbit di negara itu dilaporkan telah memulakan rundingan dengan syarikat teknologi gergasi.
Jika undang-undang itu diluluskan dan dikuat kuasa, perjanjian baharu itu boleh "menyediakan dana tambahan berjumlah AS$30 juta hingga AS$50 juta untuk wartawan tempatan."
Australia dan Kanada telah meluluskan undang-undang itu meskipun Google dan Facebook menentang langkah berkenaan, tetapi akhirnya bersetuju untuk berurusan dengan kumpulan media.
Menteri Penyiarannya Kris Faafoi turut bertemu pegawai Facebook dan Google pada Mac tahun lalu sambil menyifatkan terdapat kemajuan dalam isu berkenaan.
Meta kini merupakan syarikat induk Facebook.
"Saya yakin perbincangan komersial yang berlaku antara media tradisional dan platform digital juga akan bermula di sini di New Zealand dan saya menggalakkannya," katanya kepada Parlimen.
-- BERNAMA
#Facebook #New Zealand #Meta #Google
;