New Zealand kesan penularan baharu wabak COVID-19

Astro Awani
Februari 14, 2021 12:01 MYT
Pihak berkuasa menafikan kes jangkitan baharu ini ada kaitan dengan sajian dalam penerbangan. -Gambar fail/Reuters
WELLINGTON: New Zealand pada Ahad mengesahkan penemuan kluster baharu wabak COVID-19 di negara itu.
Kluster terbabit dikenal pasti pada tiga sekeluarga di mana ibu dan anak perempuan diuji positif pada Sabtu manakala suami wanita itu dikesan positif pada Ahad.
Difahamkan wanita terbabit bekerja di sebuah firma katering untuk syarikat penerbangan antarabangsa.
Pihak berkuasa bagaimanapun menafikan kes jangkitan baharu ini ada kaitan dengan sajian dalam penerbangan ekoran jurang lapan hari di antara hari terakhir wanita itu di tempat kerja dan ketika dia positif.
Menteri Kesihatan Chris Hipkins mengesahkan penemuan itu namun kekurangan bukti bagi mencari asal-usul jangkitan tersebut.
"Kami juga akan mencari apakah ada bukti COVID-19 berada di luar sana dalam komuniti dan beredar di antara satu dengan yang lain," kata Hipkins.
New Zealand disebut-sebut sebagai antara negara paling berjaya membendung wabak COVID-19 apabila tidak merekodkan kes baharu selama lebih dua bulan.
Namun tiga minggu kebelakangan, beberapa kes positif dilapor dikesan di sebuah hotel di mana individu terbabit selesai menjalani proses kuarantin setelah pulang dari luar negara.
Hipkins berkata tiada keperluan segera untuk memperkenalkan sekatan baharu ketika pegawai kesihatan menyiasat asal-usul jangkitan.
Sekolah pesakit kanak-kanak perempuan itu akan ditutup selama dua hari dengan semua kakitangan dan murid sekolah perlu menjalani saringan.
Perdana Menteri Jacinda Ardern dalam pada itu membatalkan atur cara di Auckland dan kembali ke ibu kota Wellington untuk diberi taklinat mengenai penularan baharu wabak tersebut.
#New Zealand #penularan baharu #tiga sekeluarga #Chris Hipkins #kes positif #COVID-19 #penerbangan #sajian dalam penerbangan
;