New Zealand cipta rekod dunia haka Maori terbesar, rampas semula gelaran
Bernama
September 30, 2024 11:50 MYT
September 30, 2024 11:50 MYT
WELLINGTON: New Zealand berjaya merampas semula rekod dunia bagi haka terbesar, dengan ribuan orang mempersembahkan tarian tradisional Maori di Auckland, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Penganjur berkata 6,531 orang mempersembahkan haka paling terkenal di negara itu, Ka Mate, pada petang Ahad.
"Apa yang bermula sebagai idea berani setahun lepas untuk menuntut semula rekod itu kini telah menjadi kenyataan. Banyak yang dipertaruhkan," kata penganjur Hinewehi Mohi.
Rekod sebelumnya dipegang oleh 4,028 orang dari Perancis pada 2014.
Haka berasal dari mitologi Maori dengan wiriwiri, pergerakan tangan yang bergetar dan gerak isyarat badan yang dilihat dalam haka, menyerupai ombak apabila haba naik dari bumi.
Haka adalah cara lazim untuk mengalu-alukan puak yang melawat tetapi ia juga dilakukan untuk menyediakan pahlawan untuk berperang.
Hari ini, haka dipersembahkan pada majlis-majlis penting termasuk acara sukan, pengebumian, perkahwinan, graduasi dan upacara alu-aluan.
"Haka merupakan bahagian penting dalam budaya kami dan mengembalikan mana (kuasa rohani) rekod dunia ini daripada Perancis dan kembali ke tanah asalnya dan memastikan ia dilakukan dengan betul dan dengan integriti adalah penting," kata Mohi.
"Acara bersejarah ini telah membolehkan kami mempamerkan warisan budaya kami yang kaya kepada dunia dan mengukuhkan hubungan mendalam yang kita semua kongsi."
-- BERNAMA