New Zealand, Australia hantar bantuan kepada Tonga

Astro Awani
Januari 19, 2022 05:32 MYT
Penduduk membersihkan sisa runtuhan dan sampah sarap susulan kejadian letusan gunung berapi dan tsunami yang melanda, di Nuku'alofa, Tonga, 18 Jan 2022. - Foto REUTERS
NEW Zealand dan Australia menggerakkan bantuan bencana kepada penduduk di Tonga yang terjejas akibat letusan gunung berapi dan tsunami.
Ia selepas ratusan rumah di pulau kecil luar Tonga musnah dan sekurang-kurangnya tiga maut akibat bencana yang berlaku Sabtu lalu.
Dengan komunikasi terjejas teruk akibat kabel telekomunikasi dasar laut masih terputus, maklumat mengenai skala kemusnahan setakat ini kebanyakannya datang daripada pesawat peninjau.
Kementerian Luar New Zealand berkata, kerajaan Tonga sudah meluluskan ketibaan kapal di negara bebas COVID-19 itu, yang mana kebimbangan potensi penularan wabak itu berkemungkinan merumitkan usaha agihan bantuan.
Kementerian itu berkata, pesawat kedua Pengawasan Pertahanan New Zealand, P3 Orion terbang melintasi Tonga dan Fiji pada Rabu untuk menilai kerosakan akibat bencana tsunami.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersiap sedia menjalankan operasi bantuan ke Tonga bagi mengelak penularan wabak COVID-19 di negara kepulauan pasifik itu.
Penyelaras PBB yang berpangkalan di Fiji, Jonathan Veitch berkata, agensi itu akan menjalankan operasi dari jauh dan mungkin tidak menghantar kakitangan ke pulau itu.
#bantuan bencana #tsunami melanda Tonga #New Zealand #Australia
;