New York Times beli Wordle, harga mencecah jutaan dolar
Astro Awani
Februari 1, 2022 12:59 MYT
Februari 1, 2022 12:59 MYT
NEW YORK: The New York Times kini pemilik baharu Wordle, permainan perkataan popular yang memberikan pemain enam peluang untuk meneka perkataan lima huruf, setiap hari.
Pembelian itu menyaksikan The Times menambah koleksi permainan teka-teki mereka yang sebelum ini sudah pun ada seperti The Crossword, The Mini dan Spelling Bee.
Sehingga Disember 2021, New York Times (NYT) mempunyai lebih satu juta langganan, memetik laporan CNN.
“The Times kekal fokus untuk menjadi langganan penting bagi setiap orang yang berbahasa Inggeris dalam usaha mereka ingin memahami dan terlibat dengan dunia.
“Permainan seperti ini dalam New York Times adalah bahagian penting dalam strategi itu.
"Wordle kini akan memainkan peranan dalam pengalaman itu, memberikan berjuta orang di seluruh dunia satu lagi sebab untuk beralih kepada The Times bagi memenuhi keperluan berita harian dan keperluan hidup mereka,” menurut kenyataan dikeluarkan The Times pada Isnin.
Josh Wardle, seorang jurutera perisian yang berpangkalan di Brooklyn dahulunya di Reddit, mengeluarkan permainan itu pada Oktober 2021 dan ia segera menjadi fenomena di seantero dunia.
Berjuta-juta orang kini bermain Wordle setiap hari, menurut Times.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Twitter pada Isnin, Wardle menulis tentang kejayaan permainan itu:
“Saya berbohong jika saya mengatakan ini tidak terlalu menggembirakan. Lagipun, saya hanya seorang dan penting bagi saya bahawa, apabila Wordle berkembang, ia terus memberikan pengalaman hebat kepada semua orang.”
Wordle, dibeli dengan harga yang disifatkan Times sebagai “dalam tujuh angka yang rendah” pada mulanya akan kekal percuma kepada pemain baharu dan sedia ada.
“Kami tidak mempunyai rancangan untuk masa depan permainan," kata Jordan Cohen, pengarah eksekutif di The Times.
“Pada masa ini, kami memberi tumpuan untuk mencipta nilai tambah kepada pelanggan sedia ada kami, sambil memperkenalkan permainan sedia ada kami kepada pelanggan baharu yang telah menunjukkan minat mereka terhadap permainan perkataan,” tambahnya.
Wardle bekerjasama dengan The Times akan memastikan sebaik sahaja permainan berpindah ke akhbar itu, kemenangan dan rekod pemain sedia ada akan dikekalkan, menurut kenyataannya.