New York saman pengedar vape jual e-rokok kepada kanak-kanak
Bernama
Februari 21, 2025 13:45 MYT
Februari 21, 2025 13:45 MYT
Peguam Negara mengumumkan tuntutan mahkamah kepada orang tengah yang mengedarkan e-rokok berperisa buah-buahan dan gula-gula kepada ratusan kedai serbaneka dan stesen minyak di seluruh negeri. - Gambar hiasan
NEW YORK: New York pada Khamis menyaman beberapa pengedar rokok elektronik terbesar di negara itu, menuduh syarikat itu melanggar undang-undang negeri yang melarang penjualan vape berperisa dan reka bentuk yang menarik minat kanak-kanak, lapor Xinhua memetik laporan media.
Peguam Negara Letitia James mengumumkan tuntutan mahkamah kepada orang tengah yang mengedarkan e-rokok berperisa buah-buahan dan gula-gula seperti Puff Bar dan Elf Bar kepada ratusan kedai serbaneka dan stesen minyak di seluruh negeri.
"Pendekatannya berbeza daripada tindakan undang-undang sebelum ini oleh New York dan negeri lain, yang menyasarkan pengeluar vape, seperti Juul Labs," kata The Associated Press.
Juul, yang dipersalahkan secara meluas kerana mencetuskan trend vaping dalam kalangan remaja, telah membayar lebih US$1 bilion untuk menyelesaikan puluhan saman serta siasatan peringkat negeri dan tempatan terhadap amalan pemasaran awalnya, termasuk penganjuran parti pelancaran dan pemberian produk secara percuma.
Syarikat itu menghentikan penjualan perisa seperti mangga dan pudina pada 2019 dan kini tidak lagi popular dalam kalangan remaja.
-- BERNAMA